Responsive Banner design

Kecoh Kononnya Bekas Ketua Polis Negara Ditangkap Khalwat

SHAH ALAM – “Saya terima banyak panggilan telefon tanya ayah!” kata anak sulung kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Muhammad Amsyari.
Dia berkata demikian selepas Mahkamah Syariah Gombak Timur hari ini menjadi tumpuan media apabila nama seorang individu Ismail Omar terpampang di papan kenyataan mahkamah serupa nama bapanya menghadapi pertuduhan khalwat.
Pada mulanya, dia berasa pelik kenapa panggilan begitu bertalu-talu tanyakan di mana ayah.
“Ada rakan media, ada juga saudara mara. Apabila saya tanya kenapa? Pada mulanya mereka ‘agak’ malu menjelaskan sebab tanya di mana ayah, kemudiannya salah seorang lagi kata nama ayah ada di mahkamah syariah.
“Adakah benar Tan Sri kena tangkap khalwat? Kami sedang tunggu di mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Muhammad Amsyari berkata, ayahnya kini berada di Paris selaku Duta Besar Malaysia ke negara terbabit, selepas menerima watikah lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 13 September 2013.
Ismail merupakan Ketua Polis Negara ke-sembilan yang bersara wajib pada 17 Mei 2013 selepas menggantikan Tan Sri Musa Hassan.
Kini jawatan berkenaan disandang Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Sementara itu, Ismail ketika dihubungi Sinar Online dari Perancis hanya ketawa apabila mendapat tahu berita itu.
Katanya, bukan beliau yang dimaksudkan.
“Itu orang lain, bukan saya,” katanya.
- Sinar Harian Online

Asmara Di Sebalik Tirai Besi

Suami orang dicekup bersama janda di sebuah hotel yang diubah suai di Simpang Kuala.

ALOR SETAR - Umpama berada di sebalik tirai besi! Begitulah gambaran tepat keadaan antara salah satu dari 26 bilik hotel bajet di Simpang Kuala, dekat sini, apabila dipasang geriji besi, malah dikunci dari luar.

Tinjauan mendapati keadaan bilik seolah-olah dalam penjara kerana mangganya dikunci di luar dan memberi peluang pasangan kekasih melampiaskan nafsu serakah mereka.

Malah, anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) perlu membuka kunci dari luar bilik ketika melakukan operasi bersempena Hari Malaysia di kediaman tersebut.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang,  Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, taktik mengunci bilik dari luar sedemikian seolah-olah ingin mengaburi mata penguat kuasa.

“Apabila bilik dikunci dari luar, manakala motosikal disembunyikan dalam bilik motel seolah-olah kelihatan tiada orang, sedangkan pasangan berkenaan sedang seronok bermadu kasih dalam hotel diubah suai itu.

“Dalam serbuan terbabit, pihak kami mendapati seorang janda berusia 22 tahun ditahan bersama pasangannya, mekanik yang juga suami orang berumur 24 tahun,” katanya.

Menurutnya, pasangan kekasih dari Pendang ini memberi alasan bertemu hanya kerana ingin membincangkan mengenai perkahwinan mereka memandangkan hasrat tidak dipersetujui si isteri .

"Tetapi ketika serbuan, lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan tidak berbaju, manakala pasangan wanita lengkap pakaian menyembunyikan diri dalam bilik air.

“Turut ditahan, dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) wanita bersama pasangan masing-masing, kontraktor dan kerani dalam operasi jam 11 malam hingga 3 pagi itu,” katanya.

Katanya, antara alasan dicipta mereka adalah menemani pasangannya belajar dan membincangkan hal perkahwinan mereka dalam bilik hotel terlibat.

"Ada pasangan didapati hanya berkenalan melalui laman sosial seperti Facebook, WeChat ataupun WhatsApp sebelum mengambil keputusan bertemu.

Oleh itu, katanya, dia meminta ibu bapa sentiasa memantau pergaulan dan pergerakan anak mereka.

"Pihak kami akan menjalankan pemeriksaan dari masa ke semasa di hotel terlibat demi memastikan kes sedemikian berkurangan," katanya laporan Sinar Harian.

Ditangkap Khalwat Dengan Dua Wanita

Seorang lelaki dan dua wanita yang dicekup berkhalwat oleh penguatkuasa Jaipk dalam sebuah
premis rumah kedai di Parit Buntar.

PARIT BUNTAR - Alasan menumpang tidur di rumah rakan sekerja digunakan seorang pemandu bas untuk mengelak dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) Cawangan Parit Buntar tidak berhasil apabila dia ditahan setelah disyaki berkhalwat dengan dua wanita di sebuah premis rumah kedai, Jalan Syahbandar, Pusat Bandar Parit Buntar di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 40-an yang berstatus suami orang itu disyaki berkhalwat bersama dua kerani kaunter sebuah syarikat bas ekspress berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.

Jurucakap Jaipk Cawangan Parit Buntar berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam itu melibatkan  lima anggota penguatkuasa Jaipk Cawangan Parit Buntar.

Menurutnya,  dalam kejadian jam 11.45 malam itu, penguatkuasa Jaipk terpaksa menunggu kira-kira 15 minit di pintu premis yang dibuka seorang wanita berusia 20 tahun.

"Apabila penguatkuasa memasuki premis itu, mereka mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita tidur di bilik berasingan, manakala gadis yang membuka pintu itu mendakwa tidur bersama rakan wanitanya.

“Ketika disiasat, ketiga-tiga individu itu mengaku tiada sebarang ikatan sah, manakala lelaki terbabit beri alasan terpaksa menumpang tidur di rumah rakan wanita memandangkan dia perlu memandu bas ke Kuala Lumpur pada awal pagi,” katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun, beliau berkata, setelah soal siasat dilakukan ke atas dua wanita ditahan, pemandu bas itu menukar keterangan dengan mendakwa menyewa sebuah bilik di dalam premis itu sejak tujuh bulan lalu.

Katanya, kenyataan kesemua individu itu meragukan memandangkan anggota penguatkuasa menemui beberapa bukti di dalam sebuah bilik di premis tersebut.

“Lelaki terbabit difahamkan sudah berkahwin dan tinggal di Butterworth, Pulau Pinang, manakala dua wanita itu pula berasal dari Bandar Baharu dan Langkawi, Kedah.

“Berikutan itu, ketiga-tiga mereka diberikan notis menghadiri sesi kaunseling di Pejabat Majlis Agama Islam Daerah Kerian di Parit Buntar pada hari Isnin (hari ini)," katanya.

Jurucakap Jaipk berkata, lelaki terbabit juga diarahkan segera meninggalkan premis berkenaan dan akan dikenakan tindakan tegas jika ditangkap berkhalwat sekali lagi. -Sinar Harian

Lelaki 3 Isteri Ditangkap Khalwat

ALOR SETAR : Biarpun sudah mempunyai tiga isteri, ia ternyata masih belum cukup memuaskan nafsu seorang lelaki apabila ditahan penguat kuasa agama kerana disyaki berkhalwat dengan remaja berusia 18 tahun di motel murah di Pantai Chenang, Langkawi, awal pagi kelmarin.
Lelaki berusia 41 tahun yang juga ahli perniagaan itu ditahan bersama pasangannya, penuntut institusi pengajian tinggi awam oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) yang membuat serbuan di motel murah berkenaan dalam operasi maksiat di pulau pelancongan itu kira-kira jam 2 pagi.
Ketika disoal siasat, lelaki terbabit mendakwa pergi ke pulau itu bersama remaja wanita berkenaan untuk bercuti selama tiga hari dan baru tiba jam 1 tengah hari pada hari tangkapan dibuat.
Mereka dikatakan menjalin hubungan cinta sejak beberapa bulan lalu dan ahli perniagaan berkenaan mendakwa akan berkahwin dengan pasangannya yang berasal dari Kelantan dalam tempoh terdekat sebagai isteri keempat.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaik, Syeikh Muhammad Suhaimi Salleh berkata, ketika serbuan lelaki terbabit yang berkemeja-T dan berseluar pendek membuka pintu bilik serta membenarkan pemeriksaan dijalankan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan seorang wanita yang hanya berkemban didapati turut berada di dalam bilik, tetapi kedua-dua mereka mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri.
“Pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuah, Langkawi untuk dibuat laporan tangkapan. Mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal) untuk diambil keterangan,” katanya.
Menurutnya, pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988 kerana disyaki berkhalwat yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. 
– Sumber

Pasangan Remaja Dicekup Ketika Sedang Bermesra Atas Motosikal

Pasangan Remaja Dicekup Ketika Sedang Bermesra Atas Motosikal , info, terkini, berita, sensasi,

Terdahulu, sepasang kekasih dilihat melakukan adegan mesra atas motosikal yang diparkir di lokasi tempat letak kenderaan dekat pusat perniagaan Lagenda Heights kira-kira jam 12 tengah malam.

Kedua-duanya yang masih menuntut dilihat berkelakuan tidak sopan boleh dikenakan denda dan diminta hadir ke Pejabat Agama Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.

Serbuan kemudian diteruskan di sebuah hotel di lokasi sama melibatkan pasangan berusia 29 dan 22 tahun dari bandar ini manakala pasangan wanita dari Kota Bharu, Kelantan.

Apabila dicekup, lelaki terbabit hanya berseluar pendek manakala teman wanitanya hanya memakai baju-T lengan pendek dan berseluar pendek.

Turut dicekup seorang penjawat awam dari Bedong bersama kekasihnya iaitu seorang janda juga berasal dari Bedong.

Lebih mengejutkan, janda yang berusia 24 tahun itu sebenarnya orang kurang upaya (OKU) bisu.


Sumber : Sinar Harian. 
- See more at: http://perihalnegara.blogspot.com/2014/09/pasangan-remaja-dicekup-ketika-sedang.html#sthash.5Woy6ZJ4.dpuf

Jurugambar Bebas Disyaki Berkhalwat Dengan Ustazah


JOHOR BAHRU – Seorang jurugambar bebas ditahan pihak berkuasa agama selepas disyaki berkhalwat dengan seorang wanita yang juga ustazah di salah sebuah sekolah tahfiz di sini, awal pagi kelmarin.

Ketika ditahan lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 20-an itu mendakwa dia baharu masuk ke bilik bakal tunangnya itu untuk menghantar ubat atas permintaan ustazah berkenaan yang demam.

Lelaki berkenaan yang mendaftar dua bilik berasingan sebelum itu mendakwa dia dari Tangkak, Ledang dan bermalam di hotel berkenaan kerana mempunyai urusan kerja di bandaraya ini.

Ustazah terbabit memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa untuk membungkus pakaiannya sebelum dibawa menaiki van Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).

Sementara itu, seorang wanita warga Vietnam hanya mampu menangis dan merayu penguat kuasa supaya tidak ditahan selepas ditangkap berdua-duaan dengan pasangannya yang berasal dari Bangladesh.

Kedua-duanya yang berusia lingkungan lewat 20-an didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah ditahan untuk siasatan lanjut selain akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi proses pengusiran.

Kesemua yang ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Negeri Johor) itu dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke pejabat Jaij untuk tindakan lanjut.

Serbuan Operasi Ambang Merdeka disertai sembilan anggota dan pegawai diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaij, Mohd Zamri Kambari yang juga bertindak sebagai ketua penguatkuasa operasi berkenaan. - Sinar Harian.

KHALWAT: Awek S’pore Kantoi Di JB, Sanggup Mengaku Bukan Islam

Seorang wanita warga Singapura tergamak mengakui dirinya bukan beragama Islam bagi mengelak dirinya dicekup bersama pasangannya dalam serbuan Ops Ambang Merdeka, semalam.
Wanita terbabit ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama seorang lelaki bukan Islam dalam serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) di sebuah hotel sekitar Taman Johor Jaya.
Ketika disoal anggota operasi mengenai agamanya, dengan selamba wanita berusia 21 tahun itu mendakwa dirinya bukan Islam meskipun dalam pasport tertera ‘binti’ pada namanya.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaij, Mohd Zamri Kambari berkata, pihaknya tetap menahan wanita itu mengikut Seksyen 27 Enakmen.
Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Negeri Johor) kerana didapati berkhalwat bersama lelaki yang bukan suami atau mahramnya.
“Melihat kepada alasan diberikan suspek, kita tetap membawanya ke balai polis untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke pejabat agama untuk tindakan susulan.
“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Singapura untuk mengetahui latar belakangnya bagi mendapatkan kebenaran terhadap dakwaan kononnya dia bukan beragama Islam.
“Jadi wanita itu juga kena buktikan juga yang dirinya bukan beragama Islam. Jaij menahannya kerana didapati berkhalwat malah nama tertera pada pasportnya merupakan nama individu Melayu,” katanya.
Sementara itu, keinginan seorang pengurus sebuah syarikat untuk melampiaskan nafsu bersama gadis warga asing, terbantut apabila bilik hotel bajet dihuninya diserbu Jaij.
Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan bersama seorang wanita warga Filipina berusia lingkungan 20an dalam serbuan berasingan.
Ketika disoal siasat, lelaki terbabit mendakwa mula memasuki bilik hotel berkenaan sekitar jam 7 malam kelmarin sementara wanita warga asing itu pula hadir kira-kira jam 1 pagi semalam.
Beliau turut mengakui mendapatkan perkhidmatan seks ditawarkan oleh gadis genit warga asing itu pada harga RM200 bagi satu malam.

Pasangan Ditangkap Khalwat Kali Kedua Dalam Kereta

Sekadar Gambar Hiasan
KUALA TERENGGANU – Tidak pernah serik, walaupun sebelum ini iaitu pada 20 Februari lalu, mereka pernah ditangkap khalwat di dalam kereta, namun sepasang kekasih ini dilihat masih belum insaf apabila mengulangi perbuatan sama selepas ditangkap dalam keadaan berbogel di tempat duduk belakang dalam sebuah kereta, 30 April lalu.
Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral mereka menerima pembalasan apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga minggu serta denda RM4,700 dan sembilan bulan penjara lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Namun, difahamkan, kedua-dua mereka, Alwafi Embong, 27, yang bekerja sebagai mekanik dan pasangannya, Zamiratul Akma Mohamad, 25, seorang penasihat kecantikan terpaksa memilih untuk meringkuk di penjara selama sembilan bulan tiga minggu kerana gagal membayar denda.
Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan iaitu khalwat dan cuba melakukan persetubuhan luar nikah. Bagi pertuduhan pertama, Alwafi yang berasal dari Tok Jiring di sini, dan Zamiratul yang berasal dari Kuala Telemong, Hulu Terengganu didakwa mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melakukan khalwat.
Alwafi ditemui sedang tidur di tempat duduk belakang sebuah kereta, manakala pasangannya tidur di tempat duduk penumpang hadapan ketika serbuan dilakukan sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu jam 3.45 pagi pada 20 Februari lalu, di kawasan parkir KFC Batu Buruk di sini.
Ketika kejadian, pasukan penguat kuasa yang menerima maklumat awam mendapati sebuah kereta diletakkan di kawasan parkir itu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka yang tiada sebarang hubungan suami isteri atau mahram, berada di dalam kenderaan tersebut.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh yang sudah bernikah empat hari lalu (21 Ogos 2014) masing-masing dikenakan hukuman denda RM2,400 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan kedua, pasangan berkenaan ditemui dalam keadaan berbogel di tempat duduk belakang sebuah kereta, di hadapan sebuah rumah di Tok Jiring, kira-kira jam 1.50 pagi pada 30 April lalu.
Siasatan lanjut mendapati mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram dan didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka masing-masing dikenakan hukuman tiga minggu penjara dan denda RM2,300 atau tambahan lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam syarie. – Sinar Harian 

Janda Tak Hormat Ramadan

Penjawat awam bersama pasangannya ketika diserbu.
ALOR SETAR - Seorang janda anak tiga antara dicekup berkhalwat bersama pasangannya, lelaki mualaf di sebuah hotel di Jalan Sultanah Sambungan, di sini, semalam.

Ketika diserbu, dia bersama pasangannya, duda anak tiga berusia 36 tahun memaklumkan mereka memiliki perancangan untuk mendirikan rumah tangga nanti.

Malah, pengasuh kanak-kanak berusia 33 tahun berasal dari Mergong, memberikan alasan berehat kononnya berasa sedikit letih pada bulan Ramadan ini.

Turut dicekup dalam operasi, seorang penjawat awam, 25, berasal dari Melaka dan wanita berusia 26 tahun dari Klang dalam sebuah bilik di hotel bajet sama.

Pasangan tidak memiliki hubungan sah berkenaan memaklumkan, mereka kebetulannya baru dua minit mendaftarkan diri dalam hotel berkenaan sementara menunggu waktu siang.

Pasangan kekasih terbabit memberikan alasan menziarahi seorang kenalan mereka di Changloon, sementara menunggu waktu pulang ke tempat mereka keesokan harinya.

Namun, alasan sedemikian tidak diterima penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) kerana pasangan berkenaan berada dalam bilik hotel berdua-dua tanpa ikatan muhrim.

Lebih mencurigakan, meskipun lelaki terbabit memberikan alasan hanya datang melihat keadaan pasangannya, namun ketika dicekup wanita berkenaan hanya memakai seluar dalam.

Manakala, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 22 tahun dicekup pula bersama wanita warga Thailand di bilik hotel di Jalan Lencong Barat, di sini.

Sewaktu disoal, pelajar terbabit memaklumkan dia baru berkenalan wanita berusia 40 tahun itu di sebuah bar, sebelum keluar bersama ke hotel berkenaan.

Itulah sebahagian gelagat tiga pasangan dicekup hampir 40 penguatkuasa JAIK dalam Ops Ramadan selama lima jam di empat hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini, semalam.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-undang JAIK, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, pihaknya mendapati segelintir individu mengambil kesempatan melakukan maksiat dalam bulan puasa ini.

“Sedangkan, mereka sepatutnya menjalankan ibadat. Malangnya, ada yang mengambil jalan mudah mengikut hawa nafsu mereka tanpa menghormati kesucian bulan Ramadan,” katanya. -sh
Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates