Responsive Banner design

Lelaki Tak Sempat Langgan Mak Nyah Di Bulan Ramadan

ALOR SETAR – Ketika umat Islam rancak mengerjakan solat tarawih, masih ada lelaki bernafsu songsang tergamak melanggan mak nyah di Lorong Kereta Api, dekat sini.
Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, tiga mak nyah bersama seorang pelanggan dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dalam Ops Nyah ketika leka berurus niaga.
Manakala beberapa mak nyah lain bertempiaran lari menyelamatkan diri menaiki motosikal pelanggan, ada juga menyorok dalam semak berhampiran landasan keretapi berkenaan.
Malah seorang pelanggan berusia 26 tahun juga tidak sempat melanggan mak nyah berusia 29 tahun.
Penolong Pengarah Penguat kuasa Undang-Undang Jaik, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, lelaki bujang terbabit dicekup bersama seorang mak nyah.
“Turut ditahan dua mak nyah bukan beragama Islam manakala seorang mak nyah dikenali sebagai Nik dikatakan kerap keluar masuk dari negeri ini dengan Thailand untuk bersosial.
“Meskipun sudah ditahan anggota penguat kuasa sebanyak tiga kali, namun mak nyah berkenaan dilihat tidak serik melakukan kesalahan sama,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Roshidi berkata, hasil siasatan yang dilakukan mendapati kegiatan mak nyah di lorong berkenaan tidak pernah berhenti sebaliknya rancak berlangsung meskipun di bulan puasa.
Katanya, mereka mengambil kesempatan semasa waktu solat tarawih untuk melakukan kegiatan tidak bermoral sekali gus mencemarkan kesucian Ramadan ini.
“Kegiatan mak nyah didapati tetap mendapat sambutan hangat terutamanya geng motosikal apabila mereka dilihat asyik berurus niaga pada bulan puasa ini.
“Sebelum dilepaskan, beberapa mak nyah dan pelanggan terbabit diberi nasihat supaya menyedari kesilapan mereka dengan harapan pulang ke pangkal jalan,” katanya.
Katanya, jika sabit kesalahan, mereka yang terbabit akan dikenakan denda RM1,000 ataupun enam bulan penjara di bawah Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah. - Sh

Janda Tak Hormat Ramadan

Penjawat awam bersama pasangannya ketika diserbu.
ALOR SETAR - Seorang janda anak tiga antara dicekup berkhalwat bersama pasangannya, lelaki mualaf di sebuah hotel di Jalan Sultanah Sambungan, di sini, semalam.

Ketika diserbu, dia bersama pasangannya, duda anak tiga berusia 36 tahun memaklumkan mereka memiliki perancangan untuk mendirikan rumah tangga nanti.

Malah, pengasuh kanak-kanak berusia 33 tahun berasal dari Mergong, memberikan alasan berehat kononnya berasa sedikit letih pada bulan Ramadan ini.

Turut dicekup dalam operasi, seorang penjawat awam, 25, berasal dari Melaka dan wanita berusia 26 tahun dari Klang dalam sebuah bilik di hotel bajet sama.

Pasangan tidak memiliki hubungan sah berkenaan memaklumkan, mereka kebetulannya baru dua minit mendaftarkan diri dalam hotel berkenaan sementara menunggu waktu siang.

Pasangan kekasih terbabit memberikan alasan menziarahi seorang kenalan mereka di Changloon, sementara menunggu waktu pulang ke tempat mereka keesokan harinya.

Namun, alasan sedemikian tidak diterima penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) kerana pasangan berkenaan berada dalam bilik hotel berdua-dua tanpa ikatan muhrim.

Lebih mencurigakan, meskipun lelaki terbabit memberikan alasan hanya datang melihat keadaan pasangannya, namun ketika dicekup wanita berkenaan hanya memakai seluar dalam.

Manakala, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 22 tahun dicekup pula bersama wanita warga Thailand di bilik hotel di Jalan Lencong Barat, di sini.

Sewaktu disoal, pelajar terbabit memaklumkan dia baru berkenalan wanita berusia 40 tahun itu di sebuah bar, sebelum keluar bersama ke hotel berkenaan.

Itulah sebahagian gelagat tiga pasangan dicekup hampir 40 penguatkuasa JAIK dalam Ops Ramadan selama lima jam di empat hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini, semalam.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-undang JAIK, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, pihaknya mendapati segelintir individu mengambil kesempatan melakukan maksiat dalam bulan puasa ini.

“Sedangkan, mereka sepatutnya menjalankan ibadat. Malangnya, ada yang mengambil jalan mudah mengikut hawa nafsu mereka tanpa menghormati kesucian bulan Ramadan,” katanya. -sh
Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates