Sekitar jam 11.17 pagi tadi, seorang pengawal keselamatan berjaya menembak mati lelaki yang cuba merompak sebuah bank di Jalan Sungai Dua, Georgetown, Pulau Pinang. Berikut adalah gambar lokasi kejadian dan keadaan perompak berkenaan selepas ditembak. Pemeriksaan polis mendapati dia memakai misai palsu untuk tujuan menyamar dan membawa parang yang disisip di pinggang.
Sebelum tewas di hujung senapang guard, perompak berusia 30-an tersebut telah bertindak berani dengan memasuki bank seorang diri lalu mencurah petrol di hadapan kaunter sambil menjerit mahu melakukan rompakan. Menurut Ketua Polis Pulau Pinang ini dipercayai modus operandi terbaharu di mana jika permintaan perompak tak dituruti maka mereka akan mengancam untuk membakar bank berkenaan. Bagaimana pun pada kejadian pagi tadi perompak terbabit tidak sempat memanjangkan aksinya apabila pengawal keselamatan bank yang bertugas segera mengejar dan melepaskan tembakan. Difahamkan pengawal keselamatan tersebut turut tergelincir kerana lantai licin gara-gara petrol yang dicurah namun bidikannya terkena perompak tersebut membuatkannya rebah.
Dipercayai, perompak ini daripada kumpulan sama yang pernah merompak bank terbabit pada 29 Mei lepas dan berjaya melarikan RM60,000. Jika benar mungkin inilah jawapannya mengapa dia begitu yakin ketika memasuki bank bagi memulakan rompakan hari ini.
Polis masih menyiasat dengan meneliti kamera litar tertutup tentang kemungkinan rakan-rakan perompak terbabit turut berada sekitar bank ketika kejadian tetapi melarikan diri selepas melihat rakan mereka tewas. Sumber mynewshub.my
PETALING JAYA: Produser filem Datuk Yusof Haslam melepaskan tiga das tembakan selepas banglo mewahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur dekat sini dipecah masuk dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi Isnin.
Sumber polis berkata, semasa kejadian Yusof, 60, sedang menonton televisyen dan tiba-tiba terdengar jeritan orang gaji di tingkat bawah yang menyebabkan beliau bergegas ke biliknya untuk mengambil pistol.
Ujar sumber itu, Yusof melepaskan satu das tembakan pertama sebagai amaran ke arah tangga rumah dan melepaskan lagi dua das tembakan ke kawasan hutan kerana mengesyaki penjenayah melarikan diri ke arah berkenaan.
Polis berkata, pengadu turut mendapati pintu rumahnya terdapat kesan umpilan manakala bilik di tingkat empat rumahnya itu berselerak akibat digeledah.
Pihak polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan penjenayah berkenaan dan dipercayai tiga orang terlibat dalam kegiatan itu.
Tambah sumber itu, semasa kejadian terdapat seorang pengawal keselamatan sedang bertugas namun dia tidak menyedari kejadiaan tersebut.
Sementara itu, isteri kepada Yusof iaitu Datin Patimah Ismail ketika dihubungi mStarOnlineberkata, pihaknya dengan bantuan polis sedang meneliti rakaman CCTV rumah mereka bagi mengenal pasti ketiga-tiga perompak tersebut.
Banglo mewah Yusof Haslam terletak di lereng bukit.
Bagaimanapun kata Patimah, penjenayah berkenaan sukar dikesan identiti mereka kerana ketika kejadian masing-masing memakai topeng bagi menutup wajah.
"CCTV di rumah berjaya merakamkan kelibat penjenayah sebelum lensa kamera itu dialihkan bagi mengelak di kesan namun keadaan mereka yang bertopeng menyukarkan kami untuk mengesan wajah mereka," katanya.
Patimah turut memberitahu, dua pembantu rumahnya turut dicederakan oleh penjenayah berkenaan ketika kejadian namun bersyukur keadaan mereka selamat.
Bagaimanapun katanya, barangan hantaran perkahwinan anak lelakinya, Syafiq Yusof lesap dan berjaya dibawa lari oleh penjenayah itu.
"Kesemua penjenayah berkenaan mengacukan pisau kepada pembantu rumah saya namun bersyukur mereka tidak diapa-apakan cuma mereka berjaya mencuri barangan milik Syafiq seperti cincin perkahwinan dan jam tangan berjenama," katanya.
Tambah Patimah lagi, tindakan pantas suaminya yang melepaskan beberapa das tembakan amaran kepada penjenayah tersebut berjaya menakutkan mereka namun kesemua perompak itu berjaya melarikan diri.
"Apabila terdengar sahaja jeritan daripada pembantu rumah, suami (Yusof) segera mengambil pistol dan melepaskan tembakan amaran dan mereka melarikan diri," katanya.