Kekalahan 2-0 kepada Chile pada awal pagi tadi bermakna Sepanyol sah tidak akan mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2014. Tetapi Iker Casillas dan rakan-rakan bukan juara bertahan yang pertama pulang awal.
Brazil 1966Selecao memenangi Piala Dunia mereka yang kedua pada 1962, selepas mengalahkan Czechoslovakia 3-1 dalam final, tetapi gagal melolosi peringkat kumpulan semasa saingan seterusnya di England, meskipun Pele dan Garrincha menyerlah dalam perlawanan pembukaan mereka menentang Bulgaria (2-0).
Pele mengalami kecederaan dalam kemenangan tersebut, dan tidak dapat beraksi dalam perlawanan kedua menentang Hungary di mana mereka tewas 3-1.
Bagaimanapun, dia kembali cergas untuk aksi penentuan menentang Portugal tetapi malangnya Garrincha pula terlepas perlawanan tersebut akibat kecederaan.
Tanpa gandingan mantap kedua-dua pemain tersebut, Brazil secara mudah diatasi Portugal yang diketuai oleh pemain bintang mereka, Eusebio.
Perancis 2002
Setelah mengatasi Brazil dalam aksi final 1998 di depan para penyokong mereka sendiri di Paris, Perancis memulakan saingan mereka yang seterusnya dengan mengecewakan.
Senegal yang melakukan kemunculan sulung berjaya melakukan salah satu kejutan paling besar dalam sejarah perlawanan pembukaan Piala Dunia, selepas Papa Bouba Diop membantu mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Les Bleus.
Dalam perlawanan Kumpulan A mereka yang kedua, Perancis gagal menembusi pertahanan Uruguay dan hanya mampu seri 0-0. Bagi mengeruhkan lagi keadaan, penyerang utama juara bertahan tersebut, Thierry Henry turut dibuang padang.
Dan Perancis menamatkan kempen Piala Dunia 2002 mereka dengan kekalahan 2-0 kepada Denmark. Kegagalan mereka untuk menjaringkan gol sepanjang saingan tersebut bermakna mereka memegang rekod untuk persembahan paling buruk oleh pasukan yang bergelar juara bertahan dalam Piala Dunia.
Itali 2010
Empat tahun selepas kemenangan dramatik mereka dalam final 2006 menentang Perancis, Itali ke Afrika Selatan dengan skuad mantap yang bertekad untuk mempertahankan gelaran mereka.
Meskipun dipilih dalam kumpulan mudah yang dihuni pasukan-pasukan seperti Paraguay, New Zealand dan Slovakia, Itali terkandas di peringkat kumpulan.
Setelah seri 1-1 menentang Paraguay dan New Zealand, mereka dikalahkan 3-2 oleh Slovakia dalam perlawanan kumpulan terakhir, sekaligus menjadi juara bertahan Piala Dunia ketiga dalam sejarah yang disingkirkan pada pusingan pertama. -Sumber
0 comments:
Post a Comment