Responsive Banner design
Home » , , » 'GENTLEMAN' Punca Misha Tertambat Firos

'GENTLEMAN' Punca Misha Tertambat Firos

Selepas pelbagai ujian termasuk difitnah pernah berkahwin, akhirnya, penyanyi Misha Omar selamat diijab kabul dengan jejaka pilihannya Firos Ezzwan Rossly, 32, di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan tepat jam 9.30 pagi Jumaat lalu.

Dengan sekali lafaz, pasangan ini sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan Imam Mukim Chempaka, Ahmad Kamil Mat berwalikan abang Misha, Mohd Rose Omar.

Linangan air mata mengiringi Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 32, sebaik sah bergelar isteri lebih-lebih lagi apabila majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung Februari lalu terpaksa ditangguhkan selepas bapanya, Omar Ismail meninggal dunia pada 23 November tahun lalu.

Namun, sebagai seorang anak yang dididik arwah bapa mengenai erti kehidupan, Misha bersedia menghadapi segalanya dengan disokong ibu tersayang, Zainab Mohd Noor serta enam beradiknya lain.

Pada sebelah malamnya, majlis persandingan diadakan di hotel yang sama dan dihadiri lebih 400 tetamu termasuk rakan artis seperti Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Jaclyn Victor, Salamiah Hassan, Fara Fauzana, Nadia Mustapha, Dina, Nurul, Adibah Noor dan Farah AF.

“Satu keajaiban berlaku kepada diri saya sebaik saja selesai dinikahkan. Saya dapat rasakan diri ini bagaikan mendapat satu kekuatan dan semangat baru,” kata Misha ketika berucap pada majlis malam itu.

Sebelum itu, penyanyi yang popular dengan lagu Bunga-Bunga Cinta, Debunga Cinta, Ku Seru, Nafas Cahaya, Pulangkan dan Angin Syurga itu diarak masuk ke Dewan Utama bersama suaminya dengan berpakaian songket bersulam benang emas kemerahan berkonsepkan moden kontemporari hasil rekaan Syaiful Baharim.

Selain menyediakan dua persalinan kepada Misha termasuk persediaan pakaian keluarganya bertemakan warna biru air laut, Syaiful turut bertanggungjawab menghiasi dewan berkenaan.

Misha yang bertunang dengan Firos pada 22 Februari 2012 berkata, selain bulan Rejab mereka turut memilih untuk bernikah pada Jumaat memandangkan hari berkenaan dianggap penuh berkat.

Katanya, walaupun tertangguh sekian lama, dia sekeluarga bersyukur kerana majlis yang dirancang itu akhirnya berjalan lancar sekalipun tanpa bapa di sisi.

“Sebelum ini saya dilanda pelbagai gosip termasuk ada yang menuduh diri saya adalah isteri orang.

Namun, saya kuatkan semangat dan beranggapan ia mungkin ujian daripada Allah SWT.

“Alhamdulillah, saya serta keluarga terutama ibu berjaya tanganinya dengan penuh sabar dan hari ini adalah detik permulaan baru dalam kehidupan saya sebagai seorang isteri,” katanya yang turut mempunyai anak angkat berusia lapan tahun iaitu Muhammad Adam Emir.

Pada majlis perkahwinannya, Misha juga tidak menerima wang hantaran, sebaliknya hanya mas kahwin berupa seutas gelang emas.

“Jika diberi wang, ia akan habis sekelip mata. Jadi, lebih baik diberi emas kerana nilainya sentiasa naik.

Emas juga diibarat sebuah cinta dan diharap ia juga sentiasa bertambah, seiring dengan nilai kasih sayang kami berdua,” katanya.

Misha berkata, gelang emas itu dihadiahkan ibu mentuanya, Hasnah Kenin dan ia adalah restu berkekalan daripadanya.

Firos kelakar, Misha manja

Sikap bertanggungjawab Firos yang sentiasa bersedia menjadi peneman setiap masalah berkongsi suka dan duka membuatkan Misha yakin untuk hidup bersama lelaki yang juga juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) itu.

“Dia juga pemurah air mata dan berkongsi suka dan duka dengan saya. Dengan senyuman manis yang tidak pernah lekang dari bibirnya, sikap ‘gentleman’ Firos turut membuatkan hati saya berasa tenang, selesa serta bertambah yakin untuk hidup bersamanya,” katanya.

Selain itu, sikap kelakar suaminya itu turut membuatkan dirinya sentiasa terhibur hingga terlupa seketika masalah dihadapi pada masa itu.

“Kami mula berkenalan sejak 2007 sebagai kawan sebelum bercinta. 

Kemudian kami putus cinta, tetapi pada 2011 dia muncul semula dan ketika itu dia ajak saya kahwin menyebabkan saya jadi tak keruan sejenak kerana terkejut dengan lamaran itu,” katanya.

Misha berkata, selepas bergelar isteri dia menjadikan nasihat ibunya sebagai pedoman iaitu sentiasa menjaga suami seperti menjaga diri sendiri.

“Malah, ibu mentua turut meminta menjaga suami sebaik mungkin dan saya percaya, nasihat mereka itu bakal menguatkan lagi hubungan cinta kami. 

Restu kedua mereka penting dan saya berdoa ke hadrat Ilahi supaya jodoh kami kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.

Firos pula berkata, dia bersyukur kerana akhirnya mereka disatukan selepas hasratnya untuk memperisterikan Misha tertangguh sebanyak dua kali sebelum ini.

Katanya, keserasian membuatkan ikatan cinta mereka semakin kuat walaupun dihimpit pelbagai dugaan.

“Agak senang berkawan dengan dia. Selama lapan tahun kami berkenalan dan sepanjang tempoh itu, saya cuba mengenali dan mendalami isi hatinya,” katanya.

Firos berkata, dia berkahwin dengan Misha bukan kerana dia penyanyi popular tetapi sikap keibuan, manja dan kelembutan diri yang dimiliki Misha membuatkan hatinya terus tertawan.

“Sebelum ini saya hanya boleh peluk Adam saja (anak angkat Misha) tetapi selepas ini bolehlah peluk dia puas-puas,” katanya dengan nada bergurau.

Persembahan artis rai mempelai

Majlis persandingan mereka turut diserikan dengan persembahan rakan-rakan artis seperti Salamiah Hassan, Adibah Noor, Jaclyn Victor dan Dina. 

Adibah yang turut bertindak sebagai pengacara majlis berjaya menghiburkan tetamu dengan pelbagai keletah lucunya selain penyampaian pantun penuh bermakna.

Sebaik selesai acara merenjis dan menepung tawar dari keluarga kedua-dua belah pihak, Adibah terus menghangatkan suasana apabila menyampaikan dua lagu, Hujan dan Bila Rindu yang ditujukan khas kepada Misha dan suaminya.

Ternyata, suaranya yang lunak merdu itu berjaya menghiburkan tetamu, malah turut membuatkan Misha mengalirkan air mata kerana terlalu sebak.

Selain itu, Jaclyn menghiburkan tetamu dengan lagu Mencintaimu dan Love serta Dina yang menyampaikan lagu Kaulah Segalanya dan My Baby You sebelum diakhiri dengan persembahan penyanyi legenda Salamiah Hassan dengan laugu Bintang Malam.

Sebagai tanda simbolik, Jaclyn, Adibah, Fara Fauzana dan Dina kemudian berpadu suara mendendangkan lagu Ikut Rentakku di depan meja pasangan pengantin sebelum Misha dan Firos bangun memberi semangat kepada rakan mereka itu.

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates