KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mahu rakyat berbilang kaum dan etnik di Sabah agar terus mempertahankan semangat perpaduan yang dikecapi selama ini dan tidak menjadikan perbezaan sebagai penghalang untuk terus memajukan negeri ini.
 
Musa berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba memecah-belahkan perpaduan kaum di Sabah, namun rakyatnya yang terdiri daripada lebih 32 suku kaum dan etnik tidak harus membiarkan anasir luar itu menanam benih kebencian dalam kalangan mereka.
 
"Bagaimanapun, saya percaya rakyat Malaysia di Sabah tidak akan mudah terpengaruh dengan tindakan tersebut. Sebaliknya (rakyat Malaysia di Sabah) akan terus mengukuhkan perpaduan demi pembangunan dan kemajuan yang berterusan," katanya dalam perutusan sempena sambutan Pesta Kaamatan 2014, esok.
 
Mengenai pembangunan di Sabah, Musa berkata seperti negeri lain, Sabah juga komited untuk terus memacu pembangunan negeri itu bagi meningkatkan taraf hidup rakyatnya dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan bilangan tenaga mahir.
 
Justeru katanya, Sabah komited menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) selain memberi fokus terhadap sektor pelancongan, pemprosesan minyak dan gas serta kelapa sawit bagi memacu ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat.

"Bagaimanapun, suka saya mengingatkan bahawa kita perlu mengutamakan kelestarian alam sekitar dalam usaha kita untuk membangunkan negeri. Kita tidak mengabaikan pandangan daripada masyarakat tentang langkah terbaik dalam memelihara dan memulihara flora dan fauna di negeri ini," katanya.
 
Beliau berkata, sekiranya seluruh lapisan rakyat teguh menyokong dan terus bersama-sama kerajaan, segala cabaran yang dihadapi termasuk insiden kehilangan peswat MH370 serta kejadian penculikan akan dapat dihadapi dengan jayanya.
 
Katanya kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat telah menggembleng kekuatan dan komitmen untuk meningkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah melalui penyediaan kelengkapan aset dan anggota yang mencukupi.  - Bernama