Perokok bakal berdepan dengan kanser paru-paru jika tidak mengambil langkah awal menghentikan amalan itu.

Pakar perubatan keluarga, Dr Razana Zakaria berkata, bukan sahaja bakal berdepan kanser bahkan pelbagai penyakit lain juga akan menanti mereka kerana bahan yang terkandung di dalam puntung rokok.

“Kesannya juga bukan kepada perokok tetapi orang sekelilingnya akan menerima penyakit. Tembakau boleh memudaratkan setiap organ badan yang memberi kesan kepada jantung, paru-paru, buah pinggang dan lain-lain,” katanya.

Katanya, sikap degil perokok  tidak mahu berhenti hanya akan merugikan mereka bukan sahaja perlu berdepan penyakit, bahkan perlu mengeluarkan belanja membelinya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas laporan dakwaan terdapat darah babi dalam puntung rokok, beliau bagaimanapun berkata, setakat ini masih tiada kajian berkenaan perkara itu.

“Kita tidak pula membuat analisis berhubung perkara itu, mungkin di negara lain pernah buat. Saya pun tidak tahu mengenai perkara itu,” katanya. -Sinar