Kuala Kangsar: Hanya kerana enggan mengikut bapanya pulang ke rumah disebabkan lebih selesa tinggal bersama ibu saudaranya, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun cedera di muka, mata dan badan selepas dibelasah bapanya.
Dalam kejadian jam 2.15 pagi, Rabu lalu, suspek yang datang bersama rakannya turut membelasah bapa saudara mangsa yang ketika itu cuba menenangkan keadaan sehingga menyebabkan mukanya bengkak.
Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa yang baru pulang daripada makan bersama sepupunya terkejut dengan tindakan bapanya datang bersama rakan dan terus membelasahnya.
Katanya, suspek menelefon anaknya sehari sebelum kejadian dan memintanya pulang ke rumah, tetapi anaknya enggan berbuat demikian kerana mendakwa sering dibelasah bapanya di rumah.
“Suspek yang datang bersama rakannya terus membelasah anaknya sebelum bapa saudara mangsa datang untuk meredakan keadaan.
Bagaimanapun, bapa saudara mangsa pula dibelasah rakan suspek sehingga menyebabkan bengkak di muka.
“Remaja terbabit bukan saja ditampar, malah dipukul serta ditumbuk suspek berulang kali sehingga menyebabkannya cedera di muka, mata dan badan,” katanya.
Menurutnya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar sejurus selepas kejadian.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan punca kejadian masih dalam siasatan. -metro
0 comments:
Post a Comment