PETALING JAYA: Seramai lima rakyat Malaysia termasuk seorang pensyarah Universiti Malaya dan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang dihendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Bahagian Anti-Keganasan, Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengenal pasti kesemua mereka kini bersembunyi dipercayai di selatan Filipina.
Beliau berkata, ia merupakan hasil siasatan ke atas 19 anggota militan yang ditahan sejak 28 April lalu.
“Tiga daripada mereka disyaki terlibat dalam merekrut dan mengatur pemergian anggota-anggota militan dari Malaysia untuk menyertai kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Syria, manakala dua lagi adalah anggota Darul Islam Sabah yang kini menyertai Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di selatan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Lima individu yang dikehendaki polis itu adalah, Dr Mahmud Ahmad, 38, yang bertugas sebagai Pensyarah Fakulti Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; Mohd Najib Husen, 36, berasal dari Petaling Jaya dan memiliki kedai photostat dan alat tulis di universiti yang sama dan seorang kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39.
Dua individu lagi disyaki yang menganggotai kumpulan Darul Islam Sabah dikenali sebagai Mohd Amin Baco, 31, penganggur dan Jeknal Adil, 30, bekerja sebagai buruh kasar. Kedua-duanya berasal dari Tawau, Sabah.
Khalid berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Hazil Azhar di talian 03-22667010 atau 011-6850, atau mana-mana balai polis berdekatan. -mStar
0 comments:
Post a Comment