Responsive Banner design
Home » , » Simunul, Semporna: Nampak Mayat Rakan Ketika ‘Mengintai’

Simunul, Semporna: Nampak Mayat Rakan Ketika ‘Mengintai’

Seorang pegawai Cawangan Khas Bukit Aman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini beliau ternampak mayat tiga anggota polis ketika mengintai dari tingkap untuk meninjau keadaan di luar selepas berlaku satu pertempuran di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna tahun lepas.

ASP Azra Nursaffree Ramli berkata ketika itu, beliau terperangkap di dalam sebuah rumah bernombor 25 di kampung air berkenaan bersama dua rakan setugas serta dua orang lain (seorang wanita tua dan anak perempuannya) selama hampir 15 jam sebelum mengambil keputusan untuk memeriksa sama ada keadaan di luar kembali tenang.

Pada 3 Mac tahun lepas, katanya beliau mengintai dari tingkap bertentang dengan rumah bernombor 27 di mana beliau nampak kilauan cahaya, dipercayai daripada tembakan berulang kali yang dilepaskan mulai kira-kira 7.30 malam sebelumnya, dan ternampak mayat rakannya yang dalam keadaan mengerikan kira-kira 10 meter dari situ.

“Satu berada di atas beranda (rumah bernombor 27), yang saya percaya adalah Sarjan Baharin Hamid, dengan keadan kepalanya cedera teruk.

“Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam keadaan tertiarap di mana kedua-dua tangannya ke belakang dan tanpa kepala, dan seorang lagi anggota PGA terapung di atas air di bawah rumah nombor 27 dengan kepalanya dalam keadaan cedera teruk,” katanya.

Azra Nursaffree berkata beliau juga ternampak dua mayat penceroboh, satu terapung di dalam air di bawah rumah bernombor 27 dan satu lagi di depannya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar sama ada beliau menghubungi Bukit Aman setelah ternampak mayat itu, saksi berkenaan berkata: “Ya”.

Pegawai itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dan dua lagi anggota polis, yang terperangkap di dalam rumah itu, diselamatkan pada kira-kira 6 petang dan dibawa ke Hospital Semporna.

Katanya wanita dan anak perempuanya itu juga diselamatkan tetapi beliau tidak tahu mereka dibawa ke mana.

Terdahulu, mahkamah ditangguhkan seketika bagi membolehkan saksi berkenaan bertenang selepas menjadi emosional ketika menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Azra Nursaffree tergagap-gagap ketika menceritakan kembali tentang bunyi tembakan yang didengarnya pada 2 Mac tahun lepas apabila Allahyarham Baharin berlari ke rumah bernombor 27 dari rumah bernombor 25 untuk menangkap seorang individu dikenali sebagai ‘Imam Tua’, yang dipercayai telibat dalam pencerobohan di Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Ini mendorong Hakim Stephen Chung bertanya saksi itu sama ada beliau berkeadan baik dan selepas itu Mohd Dusuki memohon penangguhan untuk seketika.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalm kes ini, dengan sesetengah mereka menghadapi tuduhan menjadi anggota sebuh kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, mencari anggota untuk sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di Jabatan Penjara Sabah ini bersambung esok.

Sumber mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates