Shah Alam: “Kalau betul saya salah, dah tentu saya kena ‘angkut’ pagi itu juga,” kata komposer tanah air, Datuk Ramli MS yang hadir memberi keterangan di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semalam berhubung serbuan ke rumahnya di Puchong ketika dia berada bersama penyanyi Alyah, Khamis lalu.
Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohd Salleh tiba di pejabat JAIS di sini pada jam 3.30 petang semalam bagi menyerahkan bukti perkahwinannya dengan artis tempatan, Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan. Menurut Ramli, tiada perkara yang perlu diperbesarkan kerana dia dan Alyah tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Tiada apa yang perlu diperjelaskan kerana ia prosedur biasa oleh JAIS, malah saya bukannya ditangkap berkhalwat dan pihak JAIS melakukan pemeriksaan kerana mendapat aduan dari pihak tertentu.
“Ada pihak membuat aduan kepada JAIS mengatakan saya tidak mempunyai surat nikah dan JAIS hanya melakukan tugas mereka membuat pemeriksaan,” katanya ketika ditemui sejurus selesai sesi soal siasat dan menyerahkan bukti yang dikehendaki oleh JAIS.
Katanya, ekoran kejadian itu, dia kini akan lebih berhati-hati dengan individu yang selama ini dianggap rapat agar kejadian sama tidak akan berulang lagi. -mymetro
0 comments:
Post a Comment