Responsive Banner design
Home » » ‘Saya Lebih Kenal Siapa Saloma’ - Mariani Ismail

‘Saya Lebih Kenal Siapa Saloma’ - Mariani Ismail

Foto
“Saloma adik kandung saya jadi saya lebih kenal siapa Solama bersama sejarah hidupnya,” begitulah kata seniwati Mariani Ismail, 81, dalam mempertahankan karya arahan anaknya, Melissa Saila, 42, berjudul Saloma yang kini menjadi bualan hangat dan mencetuskan kontroversi.
Mariani ketika dihubungi pagi semalam kesal apabila cucu Saloma, Arzanee Armalie, 37, dalam laporan Harian Metro semalam mendakwa supertelefilem (supertele) siaran Astro First itu memberi gambaran negatif terhadap keluarganya, selain menuntut bayaran royalti daripada tayangan supertele itu.
“Apakah motif dia (Arzanee) berjumpa wartawan? Saya rasa ia semata-mata kerana dia mahu mendapatkan wang sedangkan selama ini kami sudah cuba menolongnya tetapi tak pernah memberitahu kepada pihak akhbar,” kata Mariani lagi. 

Arzanee adalah anak Allahyarham Armalie Aman Ramli yang juga anak tunggal Saloma dengan bekas suaminya, Allahyarham AR Tompel.
Mariani atau nama sebenarnya, Siti Mariam Ismail berkata, sebelum ini Arzanee pernah meminta wang sebanyak RM1,000 daripada Lis. Malah selepas itu dia masih meminta wang lagi.
“Seperti yang saya katakan, kami sekeluarga sudah cuba membantunya. Apabila dia mengadu kesusahannya, saya sendiri pergi ke Baitulmal untuk meminta bantuan. Kemudian apabila dia diminta untuk membuat tindakan susulan, dia pula tak pergi. 

“Di samping itu, saya sendiri pergi ke FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dengan niat cuba memohon bantuan kerja untuknya, tetapi dia tidak pergi juga. Ada saja alasannya dan apabila dia sendiri tak mahu bekerja, dia asyik meminta duit daripada kami,” kata Mariani. 

Difahamkan, Arzanee yang mempunyai dua anak, sudah enam bulan tidak bekerja kerana menghidap penyakit jantung.

Dalam pada itu, Mariani juga kesal dengan dakwaan Arzanee mengatakan kisah Saloma yang menggemparkan itu menyelitkan banyak fakta yang tidak betul.

“Sebagai kakak kandung, saya lebih tahu sejarah hidup adik saya. Kami bukan saja sama-sama menempuh zaman susah ketika kecil dulu malah banyak suka duka Saloma saya lihat dengan mata saya sendiri. Ketika itu arwah Armalie belum lahir lagi apatah lagi Arzanee. Jadi siapa dia nak mengatakan cerita Saloma itu tidak betul?

“Kalau saya nak dedahkan kisah sebenar Tompel dan Armalie, saya boleh ceritakan semuanya tetapi saya tak mahu buat begitu. Malah kalau menonton filem itu, ada yang cakap orang yang jahat adalah Saloma kerana dia tak sanggup menjaga anaknya (Armalie) yang baru dilahirkannya. Bukan sebab Saloma bencikan anaknya itu tapi hatinya remuk kerana setiap kali memandang wajah Armalie, dia akan terkenangkan perbuatan Tompel terhadapnya dulu,” kata Mariani bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Lis berkata dia tidak pernah berniat menjatuhkan maruah sesiapa dalam kisah itu kerana begitulah suratan yang terjadi terhadap perjalanan hidup ibu saudaranya, Saloma.

“Mummy (Mariani) masih hidup dan dialah tempat terbaik rujukan saya untuk kisah Saloma. Saya masih kecil lagi ketika Saloma hidup tetapi saya pernah dibawa ke studio ketika Saloma hendak merakamkan lagu Anak Rantau. Saya juga selalu mendengar kisah mengenai Saloma daripada kawan baiknya, Allahyarham Latifah Omar.

“Terus terang ada banyak lagi perkara sensitif yang saya tidak boleh saya dedahkan. Saya hanya boleh menonjolkan momen yang difikirkan penting dan sesuai saja kerana saya tidak mahu mengaibkan sesiapa. Kita kena faham budaya hidup masyarakat dulu sangat berbeza dengan masyarakat hari ini dan saya kena timbangkan perkara itu dengan berhati-hati.

“Saya harap penonton dapat menyaksikan kisah Saloma ini dengan fikiran terbuka. Saya sudah melakukan apa yang termampu dalam menceritakan sebuah kisah benar mengenai Biduanita Negara yang kita sanjungi,” kata Lis.

Supertele Saloma dibintangi ramai pelakon handalan seperti Nabila Huda sebagai Saloma, Azhan Rani (AR Tompel), Tony Eusoff (P Ramlee) dan Sazzy Falak (Mariani). Ia turut dimantapkan dengan lakonan Lydiawati dan Hasnul Rahmat dan, Sharifah Amani dan Julia Ziegler.

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates