Beirut: Militan Negara Islam (IS) memuat naik klip video terbaru memaparkan tindakan mereka menyembelih wartawan kedua Amerika Syarikat (AS) sambil memberi amaran kepada Presiden Barack Obama supaya menghentikan serangan udara terhadap mereka di Iraq.
Klip video itu dianggap AS sebagai kekejaman menjijikkan yang dimuat naik semalam, dua minggu selepas wartawan pertama, James Foley disembelih.
Ia juga disiarkan beberapa hari selepas ibu mangsa terbaru itu merayu supaya dia dibebaskan, Wartawan yang dibunuh itu dikenali sebagai Steven Sotloff, 31, berasal dari Miami dan bertugas menulis secara bebas untuk majalah Time dan Foreign Policy. Sejak dilaporkan hilang di Syria pada Ogos 2013 tiada khabar berita mengenainya diketahui sehinggalah klip video pembunuhan Foley disiarkan bulan lalu.
Berpakaian oren, Sotloff yang turut memiliki kewarganegaraan Israel diancam bunuh kecuali AS menghentikan serangan udara ke atas kawasan dikuasai IS. Semalam klip video itu menunjukkan Sotloff yang juga berpakaian oren disembelih militan IS sebelum pembunuh terbabit mengingatkan AS supaya tidak lagi menyasar mereka atau akan ada tebusan lain menerima nasib sama. “Saya kembali, Obama, dan saya kembali kerana dasar luar anda yang angkuh terhadap IS walaupun sudah diberi amaran serius.
“Justeru ketika misil anda terus menyerang kami, pisau kami akan terus menyembelih leher rakyat anda,” katanya. Sementara itu Obama berkata, AS tidak akan melupakan jenayah terhadap dua pemuda terbabit yang merujuk kepada Foley dan Sotloff. “Kami mampu menjangkau jauh dan keadilan akan ditegakkan,” katanya. - AP
0 comments:
Post a Comment