SELAYANG - Bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad didakwa di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu, Rabu lalu.
Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 35, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Mengikut pertuduhan, Ezad yang popular menerusi lagu Julia, didakwa memiliki satu paket lutsinar dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.3 gram di kawasan Kompleks Selayang Mall, Selayang Utama dekat sini pada jam 1.30 petang, 19 November lalu.
Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya S Arunjothy manakala, Ezad tidak diwakili peguam.
Arunjothy menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin namun Ezad yang dijamin isterinya memohon jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Ezad membayar jaminan itu lapor Sinar Harian.
0 comments:
Post a Comment