Sungkai: Seorang warga emas maut digilis lori 10 tan membawa muatan kelapa sawit selepas motosikal ditungganginya terbabas ke bawah lori berkenaan dalam kejadian di Kilometer 84, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berdekatan FELDA Hot Springs, di sini, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa Abdul Aziz Abdul Rahim, 75, yang juga seorang peneroka FELDA dalam perjalanan dari rumahnya ke pasar pagi Sungkai terbabas selepas terkejut mendengar bunyi hon dari lori berkenaan.
Saksi kejadian Sahin Masron, 42, berkata, mangsa yang keluar dari simpang FELDA Hot Springs bersama dua rakannya itu terus memasuki lorong di sebelah kiri menyebabkan pemandu lori berkenaan membunyikan hon.
“Apabila lori itu berada di sebelah kiri mangsa, pemandu lori membunyikan hon membuatkan mangsa terkejut lalu terbabas ke bahagian bawah lori bermuatan 10 tan itu.
“Lori berkenaan yang tidak sempat membrek terus menggilis mangsa mengakibatkan mangsa cedera parah,” katanya.
Menurutnya, orang ramai melihat kejadian berkenaan membantu menutup mayat mangsa dengan surat khabar dan lori yang menggilis mangsa memberhentikan kenderaannya 100 meter dari tempat kejadian sebelum membuat laporan polis di balai berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah lori 10 tan bermuatan kelapa sawit yang masing-masing menggunakan lorong kiri menghala ke utara.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa melintas keluar dari simpang FELDA Hot Springs dan memasuki lorong yang dilalui lori sebelum mangsa terjatuh ke bahagian bawah lori.
“Mangsa parah di bahagian kepala serta anggota badan dan disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat,” katanya.
Menurutnya tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 laporan Metro.
0 comments:
Post a Comment