Pelakon senior, Datuk Rosyam Nor dalam nukilannya di sisipan akhbar Berita Harian mengeluh, semenjak awal Januari lalu, Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan pembelian drama Melayu daripada penerbit tempatan.
Lantas ujarnya, situasi ini menimbulkan masalah besar buat semua penerbit untuk menjana pendapatan dan menanggung kos produksi.
Menyifatkan industri kini berada dalam keadaan ‘tenat’, beliau walau bagaimanapun mengharapkan ia kembali normal.
“Bidang penerbitan drama juga mengalami masalah besar. Sudah ramai penerbit mengeluh termasuk aku apabila RTM tidak lagi membuat pembelian semenjak Januari lalu.”
Tambah peneraju filem Suami, Isteri dan … itu, ramai penerbit drama bergantung harap kepada RTM kerana peruntukan jumlah slot yang banyak oleh stesen itu jika dibandingkan dengan stesen lain.
Katanya lagi, dalam satu taklimat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, tindakan tersebut diambil akibat kos tinggi yang terpaksa ditanggung RTM kerana penyiaran perlawanan Piala Dunia tidak lama dulu.
Selain itu, tragedi malang MH370 dan MH17 yang menimpa negara juga menjadi punca kepada tindakan drastik itu oleh pihak RTM.
Memahami keputusan yang diambil RTM, walau bagaimanapun, Rosyam dan penerbit-penerbit mengharapkan ia dapat diselesaikan dalam kadar masa segera.
“Jika dibiarkan, mungkin satu hari nanti tidak ada filem Melayu yang akan diterbitkan lagi,” tulisnya dalam ruangan tersebut.
Beliau turut memberikan cadangan perbincangan meja bulat antara para penerbit dan pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu ini.
– Sumber
0 comments:
Post a Comment