Responsive Banner design
Home » » Aliff Aziz Timbul Kontroversi Baru

Aliff Aziz Timbul Kontroversi Baru


PETALING JAYA - Penyanyi Aliff Aziz menimbulkan kontroversi baharu apabila dia dikatakan bergaduh di sebuah hotel dekat sini sehingga didatangi pihak polis untuk meleraikan keadaan.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 23, bagaimanapun tidak menafikan perkara berkenaan sebaliknya mendakwa semasa kejadian dia tidak sedarkan diri akibat terkena sampuk.

“Ketika kejadian, saya memang tidak ingat apa yang berlaku. Saya mula sedarkan diri selepas semuanya sudah selesai.

“Sepupu saya memberitahu, saya dah kena sampuk. Memang saya ada masalah lemah semangat sejak kecil lagi,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, Aliff dikatakan mengamuk di sebuah hotel yang menjadi lokasi penginapannya sempena Anugerah Industri Muzik ke 21 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu lepas.

Semasa kejadian Aliff kononnya berada dalam pengaruh dadah sehingga pihak hotel terpaksa memanggil polis bagi meleraikan keadaan apabila dia dilaporkan menumbuk pekerja hotel berkenaan.

Situasi itu dikatakan turut disaksikan oleh penggiat-penggiat seni yang berkampung di hotel tersebut sempena penganjuran AIM 21 itu.

Dalam pada itu Aliff yang ketika ini berada di Singapura berkata,  adalah tidak logik baginya menimbulkan isu baharu sedangkan dia berusaha membersihkan namanya yang dilanda pelbagai kontroversi sebelum ini.

Dia juga mahu menjaga nama baiknya apatah lagi bakal muncul dengan album baharu pada awal tahun depan.

“Bagi sesiapa yang telah menyaksikan kejadian itu, mungkin mereka akan memberi pelbagai persepsi terhadap tingkah laku saya itu.

“Tetapi nak buat macam mana, ia adalah hari yang malang buat saya,” katanya kepada mStar Online.

Sementara itu Aliff berkata, dia kini sedang melakukan rawatan tradisional bersama seorang ustaz di Singapura bagi mengembalikan semangatnya yang telah hilang.

Malah Aliff juga sanggup menjalani ujian darah jika ada mana-mana pihak masih menuduhnya mengambil dadah.

“Biarlah orang nak cakap apa! Sekarang ini saya sedang menjalani rawatan bersama seorang ustaz.

“Jika ada pihak mempertikaikan perkara ini lagi, saya sanggup mengambil ujian darah untuk membuktikan bahawa saya tiada pengaruh dadah,” ujarnya. -MStar

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates