Kuala Lumpur: Umat Islam tidak wajar menuding jari kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung kelewatan menggantung sijil halal dua produk keluaran Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata ini kerana pihaknya mengambil tindakan segera menangani isu berkenaan sebaik menerima maklumat mengenai perkara itu.
Katanya, menerusi maklumat yang diterima pada Jumaat lalu, pihaknya bermesyuarat pada keesokannya dan membuat keputusan menggantung sijil halal dua produk keluaran syarikat itu.
“Kami sebenarnya tidak lambat membuat tindakan kerana pemeriksaan yang kita lakukan mendapati syarikat itu mengikut prosedur yang ditetapkan.
Layak dapat status halal “Pemeriksaan terakhir pada 20 Februari lalu mendapati produk mereka layak mendapat status halal. Bagaimanapun, selepas pemeriksaan berkala dilakukan, dan jika ada bahan yang mereka tidak beritahu kita, sukar untuk membuat tindakan melainkan ada aduan.
“Dalam hal ini, kami tidak menerima aduan atau laporan mana-mana pihak melainkan melalui media dan terus membuat tindakan. Sebagai seorang Islam, memang kami prihatin dan menjaga kepentingan agama, bukan untuk melindungi sesiapa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas pelbagai pihak yang mempertikai tindakan JAKIM dan Kementerian Kesihatan yang didakwa lewat mendedahkan keputusan ujian tiga sampel coklat Cadbury.
Patuhi syarak
Media melaporkan keputusan dikeluarkan selepas tiga bulan analisis dijalankan di makmal dan orang ramai dimaklumkan secara rasmi selepas maklumat berkenaan bocor dan tersebar luas melalui media sosial.
Othman menjelaskan semua pihak mempunyai tanggungjawab dalam menangani isu berkenaan dengan JAKIM berperanan memastikan segala proses pengeluaran produk mematuhi syarak.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut berperanan dalam bidang penguatkuasaan, manakala Kementerian Kesihatan bagi menentukan kandungan bahan menepati syarat.
“Semua agensi melaksana tugas masing-masing dan jika berkaitan status halal, mereka perlu rujuk kepada JAKIM terlebih dahulu kerana JAKIM adalah badan yang diiktiraf untuk pensijilan halal di negara kita,” katanya. -BH
0 comments:
Post a Comment