NEW DELHI – Seorang wanita Malaysia yang berkunjung ke Jaipur,
Rajasthan atas urusan perniagaan, didakwa dirogol semalam oleh seorang lelaki
yang ditemuinya di sana.
“Kami telah menahan
lelaki itu atas dakwaan merogol seorang wanita Malaysia pada Jumaat. Dia
penduduk Bhilwara,” Indo-Asian News Service memetik Timbalan Pesuruhjaya Polis
(Jaipur Timur), Amandeep Singh, sebagai berkata.
Lelaki itu berusia 30
tahun. Menurut laporan itu, wanita terbabit dalam aduannya berkata dia datang
ke Jaipur tiga hari sebelum itu atas urusan perniagaan dan berjumpa lelaki
berkenaan.
Kedua-dua mereka makan di sebuah hotel lima bintang pada Khamis
malam dan dari situ lelaki itu memandunya ke sebuah tempat yang sunyi dan
mendakwa dia dirogol di dalam kereta selepas diberi minuman yang dimasukkan
dadah.
Lelaki itu kemudian
meninggalkannya di hadapan hotel penginapannya, menurut laporan itu. Wanita itu
berjaya menghubungi sebuah kereta polis di kawasan berhampiran Jawahar Circle
di bandar raya ini dan membuat aduan. Lelaki terbabit ditahan dalam tempoh tiga
jam.
“Kami menerima aduan itu secara bertulis dan sedang menyoal
siasat lelaki terbabit,” laporan itu memetik Amandeep sebagai berkata. Kecaman
dan bantahan terhadap keganasan seksual di India semakin memuncak sejak insiden
rogol beramai-ramai dan bunuh seorang pelajar di dalam sebuah bas di Delhi pada
2012.
Statistik rasmi menunjukkan kira-kira 25,000 kes rogol dilakukan
setiap tahun di India, negara yang dihuni 1.3 bilion penduduk. Pada awal tahun
ini seorang wanita warga Denmark berusia 51 tahun mendakwa dirogol
beramai-ramai di Delhi. Dia dirompak dan dirogol oleh suspek bersenjatakan
pisau.
Dalam tempoh sama, seorang wanita Jerman berusia 18 tahun juga
dilaporkan dirogol oleh seorang lelaki yang berkongsi kompartmen dengannya di
dalam kereta api ketika dalam perjalanan dari Mangalore ke Chennai di selatan
India.
Kejadian rogol berlaku
setiap 22 minit di India, bagaimanapun serangan yang kurang dilapor bermakna
kekerapannya mungkin lebih tinggi. – BERNAMA