“SAYA hadapi perkara ini dengan tabah, ini dugaan Ramadan,” kata Awie kepada pemberita selepas mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Rozana Misbun,36, di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman,46, berkata, perkara paling penting baginya sekarang adalah untuk terus membesarkan anak-anak.
“Alhamdulillah, saya rasa tiada apa-apa. Kehidupan saya akan diteruskan seperti biasa, yang penting saya hendak menjaga anak-anak saya,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesahihan gambar yang menunjukkan Rozana dipukul, Awie enggan memberi sebarang komen.
“Tiada komen, kita jumpa di mahkamah nanti dan kita akan tahu apa yang berlaku,” ujar pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah itu.
Terdahulu Awie didakwa di Mahkamah Majistret hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, dua minggu lalu.
Namun Awie mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Awie didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di Jalan 9 USB 5, Taman Ukay Bestari, kira-kira jam 1.30 petang 2 Jun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
0 comments:
Post a Comment