KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza mendedikasi album terbarunya, "Fragmen" khusus kepada ahli keluarga penumpang pesawat MH17 serta umat Islam yang kini bergelut dengan maut di Gaza.
Fragmen yang terkandung sembilan buah lagu ini bertema nilai kasih, semangat, motivasi dan rasa cinta yang boleh dihayati melalui pendekatan menerusi lirik-lirik yang ditampilkan.
Siti berkata apa yang dialami oleh ahli keluarga penumpang MH17 seakan sama dengan emosi yang dilalui beliau ketika suaminya, Dato’ Seri Khalid Mohamad Jiwa terlibat dalam kemalangan di New Zealand pada tahun lepas.
“Kebetulan album ini diterbitkan ketika Malaysia berdepan berita sedih ini dan ketika umat Islam di Gaza berdepan dengan penindasan oleh Israel, saya seakan dapat merasai perasaan yang sama dengan apa yang dilalui oleh ahli keluarga ketika suami saya terlibat dalam kemalangan tahun lepas.
“Saya dedikasikan lagu Jaga Dia Untukku dan juga album Fragmen ini kepada ahli keluarga atau mereka yang melalui saat menyedihkan ketika ini agar sedikit sebanyak dapat memberi mereka semangat.” kata Siti ketika ditemui di majlis perlancaran album Fragmen serta majlis berbuka puasa di Hotel Le Meredien, Kuala Lumpur pada Isnin.
Album Fragmen adalah album solo ke 15 Siti dan merupakan kerjasama di antara Siti Nurhaliza (M) Sdn Bhd dan Universal Music.
Fragmen yang telah dipasarkan sejak 30 Jun lalu berjaya terjual sebanyak 5,000 unit pada minggu pertama diedarkan.
Sekaligus melayakkan penyanyi yang sudah 19 tahun bergelar anak seni ini menerima Anugerah Emas, yang turut disampaikan oleh Pengarah Urusan Universal Music, Loan Cheong pada majlis yang sama.
Fragmen yang diterbit dan digubah oleh komposer terkenal Aubrey Suwito turut mendapat sentuhan komposer muda yang juga pertama kali bekerjasama dengan Siti seperti Faizal Tahir, Awi Rafael, Adi Priyo serta ramai lagi.
Dato' Siti Nurhaliza ketika memberi ucapan semasa perlancaran album Fragmen di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur
Menyentuh mengenai tajuk Fragmen, kata Siti tajuk itu dipilih kerana keseluruhan album ini menceritakan sebahagian kisah hidup dan pengalamannya.
Antara kelainanan di dalam album yang mengambil masa lima tahun untuk disiapkan ini adalah menggabungkan bunyian sample effect atau bentuk adunan lagu yang tidak mirip lagu-lagu di awal perjalanan seni beliau.
Antara lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album Fragmen adalah Aku (Faizal Tahir, Mike Chan), Jaga Dia untukku (Aubrey Suwito, Rozisangdewi), Mula dan Akhir (Awi Rafael, Tinta), Kau Sangat Bererti (Hamid Mufari), Sanubari (Adi Priyo, Ce’kem), Terbaik Bagimu (Ade Govinda), Warna Dunia (Lin Li Zhen, Rozisangdewi), dan Membunuh Benci (Acap, Hairul Anuar Harun).
Anugerah Emas disampaikan oleh Pengarah Urusan Universal Music di atas kejayaan Fragmen yang berjaya terjual 5,000 unit pada minggu pertama
Dalam majlis yang sama, klip video Jaga Dia Untukku dipertontonkan buat pertama kali kepada media dan Siti sendiri mengakui merasa sebak menonton video tersebut.Klip video yang memaparkan seorang penunggang motosikal ditimpa kemalangan dan akhirnya terbaring kerana kecederaan sangat mengimbas memori saat suaminya kemalangan.
Selain dalam bentuk cakera padat, album Fragmen ini boleh juga dimuat turun melalui laman iTunes, Spotify, Deezer dan KKBox.
Sumber: Astroawani
0 comments:
Post a Comment