Pasukan kempen Prabowo Subianto menggesa pemimpin dunia supaya menangguhkan dulu ucap tahniah kepada Joko Widodo sehingga selepas bekas jeneral itu menyelesaikan tuntutannya berhubung proses pemilihan presiden Indonesia di mahkamah.
Jurucakapnya, Tantowi Yahya berkata pihaknya masih belum menyerah kalah dan akan memfailkan tuntutan di Mahkamah Perlembagaan.
"Prabowo tidak pernah menarik diri daripada proses pilihan raya. Beliau hanya menarik diri daripada proses penjumlahan undi," kata Tantowi dalam satu sidang media di Jakarta seperti dipetik oleh Jakarta Globe.
Menurut akhbar itu, sidang itu yang turut disertai oleh peguam kempen diumumkan pada Selasa malam untuk menjelaskan apakah Prabowo sudah menarik balik pencalonannya.
Prabowo dalam kenyataan kepada wartawan hanya beberapa jam sebelum pengumuman rasmi keputusan pemilihan presiden mengumumkan beliau menarik diri daripada proses pengiraan undi.
Pengumumannya itu kemudian ditafsirkan oleh banyak pihak sebagai membatalkan pencalonannya.
Joko yang ditanya tentang pengumuman Prabowo itu malah menyifatkan pesaingnya sebagai "negarawan yang menempatkan kepentingan bangsa dan negara di atas segala-galanya."
Beberapa pihak menyifatkan tindakan menarik diri daripada pemilihan menyebabkan Prabowo hilang hak untuk mempersoalkan perjalanan pilihan raya itu di mahkamah.
Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) pada Selasa mengumumkan Joko terpilih sebagai presien selepas meraih 53.15 peratus undi manakala Prabowo mendapat 46.85 peratus.
"Kami dalam proses mempersiapkan gugatan ke MK (Mahkamah Perlembagaan), dalam masa tiga hari," kata Tantowi.
Pasukan kempen Prabowo menganggarkan sekurang-kurangnya 50,000 pusat pengundian dilaporkan terlibat dengan penyelewengan atau kira-kira 21 juta undi.
Prabowo sebelum ini berulang kali menyatakan proses pemilihan itu tercemar dan tidak boleh dianggap adil.
Pemantau pilihan raya itu juga mencadangkan kepada KPU untuk menganjurkan pemilihan semula di beberapa pusat pengundian tetapi tidak dilaksanakan oleh suruhanjaya itu.
Jurucakap kempen Prabowo juga mengakui langkah mengheret pemilihan presiden ini ke mahkamah adalah satu contoh yang tidak baik untuk masa depan tetapi ia perlu dilakukan.
Sementara itu, Mahkamah Perlembagaan mengesahkan Prabowo boleh mengemukakan saman di mahkamah itu biarpun beliau menolak penjumlahan undi tersebut.
Setiausaha Agung Mahkamah Perlembagaan, Janedjiri M. Gaffar berkata mahkamah tidak boleh menolak kes yang hendak difailkan dan terpulang kepada mahkamah untuk menentukan apakah Prabowo boleh atau tidak mengemukakan kesnya.
Petisyen mencabar keputusan pilihan raya itu perlu difailkan dalam masa tiga hari iaitu sehingga Jumaat ini. Kes itu akan didengar selepas tiga hari dan diputuskan dalam masa 14 hari bekerja selepas kes didengar.
0 comments:
Post a Comment