Responsive Banner design
Home » , » Pandelela Teruja Nak Jumpa BigBang, EXO di Sukan Asia 2014

Pandelela Teruja Nak Jumpa BigBang, EXO di Sukan Asia 2014

Pandelela Rinong. Kredit Foto: Mohd Redzuan Samsuddin
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg menyatakan kesediaannya untuk memberikan saingan sekaligus mencipta kejayaan di podium Temasya Sukan Asia 2014 (Sukan Asia XVII) yang bakal berlangsung di Incheon, Korea Selatan pada September depan.
Ketika ditemui semalam, gadis berusia 21 tahun ini berkata dia kini sedang giat membuat persiapan dan menjalani latihan. Walaupun keadaan kesihatan dirinya masih belum cergas 100% akibat mengalami kecederaan lutut namun ia tidak menghalangnya untuk meneruskan latihan. Malah sebelum ke Incheon nanti dia akan berangkat ke China untuk menjalani sesi latihan di sana.
"Sekarang ni secara keseluruhan saya masih lagi dalam proses pemulihan sepenuhnya. Tapi ia tak menghalang saya untuk menjalankan latihan. Saya berharap saya dapat pulih 100% secepat mungkin.
"Mengikut perancangan, saya akan ke China dalam minggu hadapan untuk meneruskan sesi latihan di sana.
"Saya juga berharap rakyat Malaysia mendoakan kesihatan saya dan terus memberikan sokongan moralk kerana secara tak langsung saya akan lebih bersemangat lagi", katanya yang ditemui sejurus usai sidang media Kempen Team Samsung 'Sukan Kita, Kebanggaan Kita', bertempat di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Selain Pandelela sebagai duta yang mewakili kempen tersebut, turut dilantik ialah Pemain Badminton No. 1 Dunia Datuk Lee Chong Wei, yang juga hadir pada majlis berkenaan. Kedua-dua atlit kebanggaan negara ini turut dihadiahkan dengan sebuah telefon pintar Samsung bagi memudahkan mereka mengemaskini setiap perkembangan masing-masing sepanjang di kejohanan sukan berprestij itu untuk tatapan para peminat dan seluruh rakyat Malaysia.
Sukan Asia 201 bakal berlangsung mulai 19 September hingga 4 Oktober depan.
Pandelela sempat berselfie bersama Presiden Samsung Elektronik Malaysia, Lee Dong Yong, Chef de Mission Sukan Asia 2014, Dato' Pahlawan Danyal Balagopal dan Datuk Lee Chong Wei dengan menggunakan telefon Samsung baru dihadiahkan padanya, sewaktu di majlis sidang media semalam. Kredit Foto: Mohd Redzuan Samsuddin
Dalam pada itu Pandelela seperti dapat menjangkakan yang persaingan untuk acara renang pada kejohanan kali ini amat sengit. Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, anak kelahiran Bau, Sarawak ini berkata dia sudah bersedia untuk berdepan dengan peserta terutama dari tuan rumah, China dan Jepun.
"Saya bukan tidak mahu berjanji untuk membawa pulang pingat emas buat negara. Susah untuk saya katakan buat masa ini. Kerana, tak dinafi kali ini saingan agak sengit. Tapi, saya akan cuba sehabis baik!
"Saya dapat jangkakan yang saya akan berdepan dengan pencabar terdekat iaitu dari negara China. Dan saya juga tak boleh terlepas pandang pada peserta negara Jepun. Saya dapat tahu ada seorang penerjun negara Jepun yang baru berusia 14 tahun tapi dia sudah boleh menguasai dalam acara saya iaitu 10 meter platform dengan baik sekali.
"Saya yakin yang penerjun itu akan menjadi pesaing saya. Namun saya juga teruja dan bersemangat untuk bersaing dengan peserta itu dan sekaligus berjanji akan mempamerkan persembahan yang paling terbaik nanti", ujarnya.
Sementara itu, dalam pada memberikan fokus sepenuhnya untuk mencipta prestasi cemerlang, Pandelela juga berkata dia tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan acara pembukaan kejohanan sukan berprestij itu. Keterujaan gadis ini tambah memuncak kerana dia difahamkan pada acara pembukaan nanti akan ada beberapa artis popular Korea yang membuat persembahan seperti Kumpulan EXO, BigBang, JYJ, PSY dan Kim Soo Hyun.
Mungkin ramai tidak tahu bahwa Pandelela seorang peminat muzik K-Pop. Justeru peminat tegar kumpulan idola sensasi Bigbang ni tidak sabar untuk menyaksikan persembahan daripada barisan idola popular tersebut.
Penampilan kumpulan sensasi Korea, BigBang antara yang dinanti-nantikan Pandelela di acara pembukaan Temasya Sukan Asia 2014
"Saya juga tak sabar dan tak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan acara pembukaan nanti. Sebab saya tahu ada Bigbang, PSY, JYJ, EXO dan Kim Soo Hyun yang akan membuat persembahan.
"Ini kali pertama saya ke Korea. Jadi saya juga akan mencari peluang untuk menikmati makanan di sana yang dengarnya sangat sedap-sedap juga sikit sebanyak melihat cara dan budaya masyarakat di sana. Saya harap saya ada peluang untuk buat semua itu nanti.
"Lebih-lebih lagi, Samsung baru saja hadiahkan saya telefon baru. Jadi mestilah saya tak lupa untuk kongsikan momen-momen menarik yang saya lalui sepanjang di sana nanti. Kalau nak tahu, saya ni sebenarnya 'giler' ambil gambar. Suka juga selfie", katanya dengan nada teruja.
Wah! Kalau lah Pandelela dapat ber-selfie dengan Bigbang, EXO, JYJ dan Kim Soo Hyung, tentu-tentu peminat muzik K-pop di tanah air makan hati, yer tak...? Heh.
Sebelum ini, Pandelela pernah mencatat sejarah sebagai atlit wanita Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik (pingat gangsa) iaitu dalam acara terjunan 10 meter platform Wanita, dan atlit Malaysia kedua memenangi pingat Olimpik 2012 di London (selepas Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton).
Kepada Pandelela juga seluruh kontinjen Malaysia yang mewakili negara di Sukan Asia 2014, MD ucapkan selamat maju jaya dan... majulah sukan untuk negara. -MD

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates