KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa Shahnaz Abdul Majid telah dipengaruhi untuk mempercayai beliau memiliki harta peribadi yang banyak sehingga mendorong bekas isterinya itu membuat tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta.
Mahmud Abu Bekir juga berkata jumlah yang dituntut terlalu banyak dan tidak munasabah.
"Saya tak faham kenapa terlalu banyak. Mungkin dia mendapat nasihat yang tidak betul daripada pihak-pihak tertentu.
"Saya percaya ada pihak-pihak tertentu memberitahu keluarga kami kaya disebabkan masalah rasuah. Itu hanya politik semata-mata," katanya pada prosiding kes tuntutan mutaah oleh isterinya di depan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab.
Shahnaz, 51, turut menuntut harta peribadi seperti nafkah anak berjumlah RM121 juta dan harta sepencarian sebanyak RM300 juta.
Mahmud Abu Bekir berkata sebelum bercerai, Shahnaz tidak menyebut akan membuat tuntutan berkenaan.
"Saya cukup hairan dengan tuntutan-tuntutan itu. Dia ambil petikan berita dari laman sesawang 'Sarawak Report' yang mengeluarkan berita palsu mengenai keluarga saya," katanya.
Beliau juga berkata Shahnaz mendapat maklumat tidak benar berhubung harta yang kononnya telah dinilai oleh seorang akauntan bertauliah.
"Jurunilai itu membuat andaian tanah milik saya di Sarawak telah ditanam dengan kelapa sawit berusia antara tiga hingga lapan tahun.
"Laporan akauntan bahawa saya memiliki aset dengan nilai antara RM976 juta hingga RM1.395 bilion itu adalah tidak benar dan palsu," katanya ketika disoal peguam Saadiah Mohd Din.
Anak kedua Yang Dipertuan Negeri Sarawak itu juga mendakwa beliau tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak memasuki kawasan persendirian miliknya untuk merakam gambar dan dijadikan bukti dalam perbicaraan kes berkenaan.
Pada 11 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan penceraian Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz dengan talak satu.
Pasangan itu, yang berkahwin pada 9 Jan 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 22.
Pada sesi perbicaraan 5 Mei lepas, seorang akauntan bertauliah Andrew Heng menyatakan bahawa ahli perniagaan itu memiliki aset bernilai antara RM976 juta hingga RM1.395 bilion merangkumi pegangan saham di syarikat dalam dan luar negara, tanah dan kereta mewah, selepas membuat kajian serta carian.
Akauntan itu mendakwa adalah lebih daripada mencukupi jika plaintif meminta sejumlah RM100 juta daripada defendan sebagai mutaah.
Perbicaraan bersambung 17 September ini. - Bernama
0 comments:
Post a Comment