Responsive Banner design
Home » » Lewat Daftar Nikah: Ramli MS & Alyah Boleh Dipenjara

Lewat Daftar Nikah: Ramli MS & Alyah Boleh Dipenjara


PETALING JAYA: Pengarah muzik  Datuk Ramli MS sepatutnya mendaftarkan perkahwinannya dengan penyanyi Alyah dalam masa enam bulan selepas tarikh mereka bernikah mengikut Seksyen 31 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2013.
Penolong Pengarah Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarof, berkata, kegagalan pasangan itu berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan boleh disabitkan sebagai kesalahan selain dikenakan penalti.

"Secara dasarnya pasangan yang berkahwin di luar negara perlu mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu dengan hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di bawah enakmen tersebut.

"Sebaik-baiknya sejurus kembali ke Malaysia pasangan yang menetap di negeri Selangor terus hadir di hadapan mana-mana Pendaftar di negeri ini dengan mengemukakan surat perakuan nikah dan dokumen berkaitan untuk mengesahkan perkahwinan itu telah berlaku," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis. Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh pada Selasa lalu hadir ke Jais bagi menyerahkan pasport perjalanan antarabangsa miliknya dan isteri selain buku pernikahan mereka.
Perkahwinan Ramli dan Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasilah Hassan, 33, terbongkar apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa Jais membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, 28 Ogos lalu.

Kedua-dua pasangan tersebut telah berkahwin pada 18 Mac 2013 di Batam, Indonesia.

Dalam pada itu, Shahrom berkata, pihak penguatkuasa akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pasangan itu memandangkan mereka tidak mendaftarkan perkahwinan yang sudah menjangkau usia setahun lima bulan.

"Jika jelas peraturan itu dilanggar maka pasangan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 35.

"Bagaimanapun kes Ramli dan Alyah masih diperingkat siasatan dan mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan sama ada perkahwinan tersebut ada mendapat kebenaran di luar dan dalam negara dan perkara-perkara berkaitan sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk dibicarakan," jelasnya. -mStar

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates