"SAYA dan Zul tidak ada sebarang hubungan istimewa. Kami tampak mesra sebegitu hanya sekadar memenuhi permintaan peminat yang datang dan sanggup berpanas kerana mahu berjumpa kami," jelas Ayda Jebat mengenai aksi mesranya bersama Zul yang dirakam peminat di sebuah majlis kereta kebangsaan, Proton, baru-baru ini.

Menurut Ayda lagi, dia dan Zul hadir pada majlis berkenaan selepas di undang oleh Proton dan tidak menyangka ramai peminat drama Rindu Awak 200% berada di situ.

"Drama itu sudah sebulan berakhir, tapi saya tidak sangka penangannya masih dirasai. Saya terharu melihat mereka sanggup beratur pajang di bawah bahang matahari semata-mata mahu bergambar dengan kami.

"Dan 'pose' yang kami buat pada hari itu hanya kerana Zill Faezrul dan Armel Aisya. Bukan kerana saya dan Zul mempunyai hubungan istimewa," ujarnya kepada Zass.

Ayda berkata, dia juga sedia maklum bahawa Zul kini sudah mempunyai kekasih dan tidak tegar untuk menjadi orang ketiga dalam perhubungan itu.

"Saya akui ada peminat yang mahu kami menjadi kekasih, tapi bukan semua permintaan mereka dapat ditunaikan.

"Bagi yang mengkritik saya kerana gambar itu, atau tampak terlalu mesra, saya minta maaf. Seperti saya katakan tadi, ia hanya sekadar memenuhi permintaan peminat sahaja," katanya yang akan tampil dalam sebuah telefilem bersama Zul iaitu, Lokum Untuk Mama.

Dalam pada itu, Ayda berkata, dia akan ke Jakarta dua hari lagi bagi menjalani penggambaran telefilem produksi Indonesia berjudul 'From Haters To Lover'.

Menerusi telefilem itu, Ayda akan bergandingan bersama pelakon Indonesia, Dimaz Aditiya.

"Saya tak sangka memperoleh kesempatan seperti ini, ia bakal menjadi pengalaman bermakna buat saya. Selain itu, tidak lama lagi, saya juga akan terlibat dengan penggambaran drama muzikal terbitan syarikat produksi Afdlin Shauki.

Sementara itu, di tebak mengenai karier nyanyiannya, Ayda berkata, dia merancang untuk mengeluarkan sebuah single, namun segalanya masih dalam perancangan. -SH