Responsive Banner design
Home » » Syamsul Bukan Suami Baran - Puteri Sarah

Syamsul Bukan Suami Baran - Puteri Sarah


USIA perkahwinannya bersama pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof baru mencecah usia enam bulan.

Namun, jelas terpancar seri kebahagiaan di wajah bekas pelakon yang juga bekas model sambilan ini ketika bertemunya di majlis pelancaran buku Variasi Stail Hijab di Kumpulan Media Karangkraf baru-baru ini.

Mengakui usia perkahwinan bukan penentu kebahagiaan rumah tangga, empunya nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin ini memberitahu, dia bersyukur mempunyai suami seperti Syamsul.

Katanya, meskipun orang melihat Syamsul seorang yang tegas dan baran, namun ia hanya sewaktu dia bekerja sahaja.

"Dia tegas bila perlu, dia bukan jenis yang tiba-tiba nak marah. Tetapi jika berkaitan dengan kerja, dia memang serius," katanya.

Jelas Puteri Sarah, Syamsul juga sangat menitik beratkan penampilan dan tata tertibnya sebagai seorang isteri.

"Dia memang menjaga keperibadian saya, apa sahaja yang saya lakukan perlu mendapat persetujuan dan baik di matanya ," akuinya mereka hanya bercinta selepas nikah.

Berbicara mengenai keguguran yang dialami Ramadan lalu, jelasnya, dia sentiasa positif terhadap perkara itu.

"Insya-Allah, jika ada rezeki saya akan mengandung lagi. Lagipun perkara ini bukan saya sahaja yang menghadapinya," katanya tidak mengehadkan berapa ramai anak yang dianugerahkan kepadanya dan Syamsul.

Tinggal lakonan demi rumah tangga

Keputusan meninggalkan dunia lakonan bukanlah sesuatu yang berat bagi pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie ini.

Akui Puteri Sarah, ketika mengambil keputusan tersebut, dia sebenarnya berasa sangat lega kerana kehidupannya kini jauh lebih baik.

"Saya bukanlah graduan dalam bidang seni atau mana-mana bidang berkaitan, kerana itu saya tidak berasa rugi meninggalkan dunia lakonan.

"Apabila menyatakan hasrat untuk berhenti berlakon, suami adalah orang yang paling gembira. Malah dia menyokong sepenuhnya keputusan saya," ujar wanita berusia 28 tahun ini.

Tambahnya, berhenti berlakon juga merupakan peluang untuk dia meluangkan masa yang ada kepada suami dan keluarga.

"Syamsul seorang yang gila kerja, bayangkan jika saya masih berlakon, jadual yang tidak menentu pasti mendatangkan masalah kepada rumah tangga kami.

"Sekurang-kurangnya kini, selepas waktu bekerja, saya akan pulang ke rumah dan menunggu suami sahaja," katanya kini bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah butik di Kuala Lumpur.

Menurut Puteri Sarah, kesibukannya dengan tugas baru juga antara faktor dia dengan mudahnya melupakan bidang lakonan.

"Bekerja di butik membuka minda saya untuk menghasilkan rekaan sendiri. Impian ini juga turut disokong suami.

"Dengan bantuannya, saya sudah mempunyai enam rekaan sendiri di bawah label Shara by Puteri Sarah.

"Walaupun baru sahaja beroperasi secara online minggu lalu namun, sambutan diterima agak memberangsangkan, lagipun suami bertanggungjawab membantu mempromosikan rekaan saya ini," katanya Syamsul adalah tulang belakang kepada perniagaan jubah Muslimah rekaannya itu.

Tambahnya, rekaan yang dihasilkan juga mementingkan ciri-ciri seorang Muslimah.

"Yang penting ia tidak melekap di badan. Saya juga menggunakan material yang sesuai untuk cuaca di Malaysia," katanya jubah tersebut turut direka untuk ibu yang menyusukan anak. -SH

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates