Responsive Banner design
Home » , » SESB pantau gangguan bekalan elektrik di Sabah

SESB pantau gangguan bekalan elektrik di Sabah

SESB

KOTA KINABALU - Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membuka Bilik Gerakan di sini sejak Selasa lepas untuk memantau dan memastikan gangguan bekalan di kawasan terlibat banjir dapat diberikan keutamaan daripada aspek keselamatan dan pemulihan semula bekalan.
   
SESB dalam satu kenyataan berkata petugas teknikalnya di Kota Kinabalu ditambah bagi melakukan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik yang terganggu di kawasan dilanda banjir dan cuaca buruk yang tidak menentu.
   
"Kerja–kerja baik pulih bagi kawasan–kawasan terbabit dilakukan apabila kawasan tersebut didapati selamat dan bekalan elektrik dapat dipulihkan.
   
Keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini serta paras air yang tinggi di pepasangan SESB menyukarkan anggota kerja SESB untuk sampai ke kawasan terbabit bagi menjalankan kerja–kerja baik pulih," kata SESB.
   
Kenyataan itu berkata, terdapat pepasangan SESB yang turut ditenggelami air dan perlu diselenggara terlebih dahulu bagi memastikan bekalan dapat dibekalkan dan ini akan mengambil masa sebelum penyambungan bekalan dapat dilakukan.
   
Hujan dan angin kencang turut mengakibatkan beberapa talian SESB di Kota Belud, Kudat dan Ranau mengalami kerosakan dan syarikat itu telah mengambil langkah keselamatan untuk membaik pulih tiang-tiang yang patah di kawasan terbabit.
   
Kata kenyataan itu, SESB akan terus memantau semua pepasangan SESB dan menara–menara talian di kawasan Pantai Barat Sabah itu bagi memastikan gangguan bekalan dapat dikurangkan ke tahap minima dan usaha membaik pulih dapat dilakukan dalam kadar segera.
   
Sebarang aduan gangguan bekalan boleh disalurkan ke SESB melalui talian 15454 atau 1-800-881135 yang akan dibuka selama 24 jam setiap hari.
   
SESB juga berharap agar orang ramai berhati–hati ketika musim cuaca tidak menentu ini terutamanya ketika berada berhampiran dengan pepasangan SESB. - Bernama
 

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates