CAMERON HIGHLANDS – Tiada lagi istilah tidur buat seorang peruncit, Ng Yoke Sun sejak Bertam Valley dilanda banjir lumpur tahun lalu.
Yoke Sun,40, tidak lena tidur setiap kali hujan lebat melanda yang menyebabkan kejadian tanah runtuh sehingga meragut beberapa nyawa.
“Saya terjaga di tengah malam apabila terdengar sesuatu di atas bumbung. Apabila hujan mula turun sejak Rabu lalu, hati saya berdegup kencang.
“Saya risau kejadian banjir lumpur yang sama berulang dan boleh merosakkan barang-barang di kedai,” jelasnya ketika ditemui pada Jumaat.
Dia bernasib baik kedai runcitnya itu tidak terlibat dengan banjir lumpur yang melanda Bertam Valley pada Rabu lalu selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat berlaku di Pekan Ringlet, 4 kilometer dari tempatnya.
Kejadian alam itu sehingga kini telah meragut lima nyawa, termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang hanyut dibawa arus deras sepanjang Sungai Terlom di Kuala Terla.
Manakala empat mayat lagi di temui pada Khamis dan Jumaat.
Selain Yoke Sun, perasaan trauma turut dirasai oleh penduduk-penduduk lain.
Tho Wai Kuan yang bekerja sebagai pakar runding di Kuala Lumpur berkata, perasaannya akan gelisah setiap kali hujan melanda di Cameron Highlands.
Wai Kuan,40, bimbang sekiranya insiden malang itu akan berlaku lagi di kampung halamannya itu.
“Saya balik ke rumah pada Khamis lalu untuk melihat abang saya yang tinggal di sini.
“Perasaan lega apabila mengetahui keadaan abang saya dan keluarganya berada dalam baik dan terselamat daripada kejadian itu.
“Dalam masa sama juga, saya akan mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca di laman web sekiranya ada kemungkinan hujan lebat berlaku,” jelasnya.
Sementara itu, seorang surirumah yang hanya mahu dikenali Kang berkata, anak-anaknya berada dalam ketakutan sejak insiden sama tahun lalu.
Kang berdepan dengan saat menyedihkan ketika kejadian tahun lalu yang turut meragut nyawa suaminya sekaligus memberi kesan kepada dua anaknya yang berumur 17 dan 18 tahun.
“Saya balik ke sini dua bulan lalu selepas selesai bertugas di Singapura.
“Namun selepas insiden Rabu lalu, saya tidak sanggup meninggalkan anak-anak dan ibu (86 tahun) saya di rumah,” katanya.
Manakala seorang penduduk di pekan Ringlet Zainuddin Mohd Nor berharap pihak berkuasa mampu bertindak menghentikan aktiviti pembersihan tanah dan ladang haram di kawasan tanah tinggi ini.
“Ringlet adalah kampung halaman saya dan seperti tidak sanggup lagi tinggal di sini kerana sentiasa berasa bimbang setiap kali musim hujan berlaku.
“Kerajaan perlu membuat sesuatu agar penduduk-penduduk di sini tidak terus menderita,” jelasnya. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment