NEW DELHI – Tindakan seorang ahli politik parti pemerintah India yang mahu menjadi terkenal di negara itu dengan menyapu sampah, akhirnya ‘memakan diri’ sendiri apabila didapati berlakon membersihkan kotoran yang sebenarnya dibuang pekerjanya sendiri.
Satish Upadhyay (gambar bawah), pemimpin Parti Bharatiya Janata di ibu negara India itu pada mulanya menerima pujian ramai penduduk kerana sanggup menyahut kempen Perdana Menteri, Narendra Modi yang melancarkan kempen kebersihan ‘Clean India’pada bulan lalu.
Malangnya seorang pekerja beliau secara tidak sengaja merakamkan gambar mereka terlebih dulu buang sampah-sarap kecil termasuk daun-daun kering di tepi sebatang jalan di pinggir bandar itu sebelum Upadhyay datang ‘berlakon’ sibuk menyapu kotoran terbabit.
Gambar aksi pemimpin itu menjadi viral menerusi laman sosial apabila diterbitkan akhbar Mail Today awal minggu ini namun populariti itu cuma sementara apabila beberapa foto pekerja Upadhyay menabur sampah kemudian disiarkan beberapa akhbar tempatan lain.
Ramai penduduk segera meluahkan perasaan marah kepada pemimpin itu menerusi Twitter sehingga penanda #CheatingCleanIndia menjadi hashtag paling popular di India setakat 7 November sebagai tempat melepaskan geram ekoran tindakan penipuan Upadhyay itu.
Namun beliau tetap mempertahankan aksi itu sebagai tidak salah. Kempen kebersihan besar-besaran yang dilancarkan Modi itu turut melibatkan ramai ahli politik, bintang filem popular termasuk Salman Khan dan ahli perniagaan terkenal seperti Anil Ambani. – Agensi
0 comments:
Post a Comment