Kuala Lumpur: Harga kenderaan Honda yang dipasang sepenuhnya (CKD) di negara ini akan mengalami penurunan antara RM500 dan RM2,500 mengikut jenis model susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkuat kuasa hari ini.
Penurunan harga model CKD keluaran Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) itu membabitkan Jazz, City, Civic, CR-V, Accord dan model terbaru HR-V manakala model yang diimport sepenuhnya (CBU) seperti Honda Odyssey menyaksikan kenaikan harga antara RM500 dan RM1,000.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno berkata, harga alat ganti juga akan dikurangkan dengan purata sebanyak 3.7 peratus untuk semua model namun GST akan ditambah ke dalam kos buruh.
“Memandangkan harga alat ganti sudah dikurangkan, kami menganggarkan kos keseluruhan penyelenggaraan akan turun sebanyak 2 hingga 4 peratus bergantung kepada model.
“Pengurangan harga model CKD ini berdasarkan kepada ciri-ciri dan aksesori yang menyebabkan harga untuk setiap model dan varian adalah berbeza. Secara keseluruhannya, penjimatan daripada pelaksanaan GST akan diberikan kepada pelanggan Honda yang menyebabkan penurunan harga model CKD keluaran syarikat,” katanya pada majlis penghargaan media di sini, kelmarin. -hmetro
0 comments:
Post a Comment