“ALHAMDULILLAH, sambutan Hari Ibu tahun ini saya dapat raikan bersama umi tidak seperti tahun lalu. Jadi kali ini ia lebih bermakna buat saya,” jelas aktor muda, Afiq Muiz, 22 ketika ditanya makna Hari Ibu buat dirinya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Ibu anjuran Rafflesia, di Hotel Royal baru-baru ini.
Tidak mahu lagi menoleh ke belakang, Afiq bagaimanapun akui pengalaman pahit yang berlaku sebelum ini banyak mengajar dirinya menjadi lebih matang.
“Saya bersyukur kerana kehidupan saya sekarang bertambah baik bersama keluarga terutamanya umi.
“Apa yang terjadi sebelum ini membuatkan saya lebih matang dan tahu dunia yang sebenarnya yang menunjukkan saya siapa lawan dan siapa kawan.
“Sekarang ini kalau boleh saya tidak mahu fikirkan perkara yang telah berlaku tapi hanya mahu fokus pada kerjaya memandangkan perjalanan saya yang masih jauh,” ujarnya yang bakal membawa ibunya menunaikan ibadah umrah awal tahun depan.
Pada masa sama, ibunya Hasliza Mohd yang turut hadir pada majlis tersebut bersama Afiq meluahkan perasaan gembira dan syukur keadaan anak lelakinya kembali seperti asal.
“Sebenarnya Afiq tidak banyak berubah sebab seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, dia memang seorang anak yang baik.
“Tapi apa yang berlaku di sebaliknya, biarlah kami sekeluarga yang tahu dan tidak perlu diungkit kembali.
“Lagi pun saya gembira kerana semuanya kembali pada asal. Apa yang penting kita doakan yang terbaik untuk dia,” katanya -SH
0 comments:
Post a Comment