MANILA: Seorang pelajar sekolah menengah di Filipina tampil dengan idea bijak apabila dilaporkan berjaya menghasilkan tenaga dari sepatu. Ini kemudiannya boleh disalurkan sebagai alat mengecas bateri telefon bimbit atau untuk sebarang peranti lain yang mengguna bateri.
Menurut laman web interaksyon.com, Angelo Casimiro mengemukakan ideanya itu menerusi projek “"Electricity-Generating Footwear," yang dicalonkankan udipertandingkan di Pameran Sains Google yang diadakan secara atas talian atau online.
Pameran itu menampilkan pertandingan ciptaan sains dan teknologi untuk mereka yang berusia dari 13 sehingga 18 tahun. Menurut penganjur, pencalonan kini sudah ditutup. Pemenang peringkat wilayah dan kebangsaan akan diumumkan pada 26 Jun ini. Manakala finalis peringkat antarabangsa akan diumumkan pada 8 Ogos nanti.
Pertandingan akan sampai ke kemuncaknya apabila satu pertandingan akhir akan diadakan pada 22 September nanti. Dalam video yang dikirimkan Angelo, dia berkata telah memulakan projek ini seawal usia empat tahun lagi. Ia dilakukan bersama datuknya yang digelar sumber inspirasi utamanya.
Selepas datuknya meninggal dunia, Angelo telah meneruskan projek terbabit bagi mengenang jasa mendiang.
Susulan itu juga dia telah membuat beberapa video tutorial dan menghantar karangan berkaitan projeknya itu kepada beberapa laman web.
Hasilnya, Angelo telah memenangi beberapa pertandingan. Apa uniknya ciptaan Angelo? Dia telah mencipta sekeping alas kaki yang diselitkan ke dalam sepatu yang mampu menghasilkan tenaga setiap kali penggunanya melangkah.
Alas kaki terbabit disambungkan kepada sebuah pengecas yang disorokkan di dalam kasut yang kemudiannya bertindak sebagai bank tenaga. Gajet terbabit kemudiannya disambungkan kepada peralatan USB yang digunakan untuk mengecas sebarang peranti termasuk bateri telefon bimbit.
Angelo telah membuat ujian dengan berlari selama dua jam tanpa henti. Hasilnya adalah tenaga yang boleh digunakan selama 10 minit. Dalam satu lagi ujian, dia telah berlari selama lapan jam dan telah berjaya mengecas sepenuhnya bateri jenis lithium ion dengan kapasiti tenaga 400 mAh.
Lebih menarik apabila dia berjaya mengecas bateri dengan hanya bermain bola keranjang untuk dua jam.
Lapik dalam kasut terbabit juga dikatakan selesa. Paling menarik apabila kos untuk menghasilkannya adalah hanya P304 (RM22) dengan penjimatan menerusi penggunaan bahan-bahan terbuang.
Ramai yang memuji kejayaaan Angelo itu dan berjanji untuk mengundinya agar dapat muncul pemenang pertandingan itu nanti. Angelo berkata dia bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera satu hari nanti dan bekerja dengan syarikat yang menghasilkan produk baharu dan inovatif. -Sumber
0 comments:
Post a Comment