Responsive Banner design
Home » , » Perkahwinan Paling Singkat Selebriti

Perkahwinan Paling Singkat Selebriti

Pertemuan dan perpisahan adalah sinonim dalam kehidupan manusia. Begitu juga dengan soal jodoh yang sukar diramalkan. Apa yang pasti, walau apa pun berlaku kehidupan harus di teruskan. Selagi masih hidup pencarian ‘cinta’ takkan berakhir.

Meskipun perkahwinan dibina ternoktah dalam tempoh singkat, pandangan ke arah yang positif dan sentiasa ingat bahawa kebahagiaan yang berakhir dengan perpisahan itu tidak selamanya berterusan gagal. Kalau dilihat pada kehidupan bintang dan selebriti Hollywood, ‘cinta’ pada mereka bagaikan tiada apa-apa makna dan yang patah itu dengan mudah diganti baru.

Namun, senario sebegitu masih jarang berlaku dalam kalangan selebriti tempatan. Justeru, kecewa kali pertama, kedua atau berterusan, yakinlah ia tidak bermakna akan gagal buat selamanya. Bagi selebriti Hollywood, kisah kahwin dan cerai dalam tempoh singkat bukanlah masalah besar. Barangkali, pada mereka cinta memang mudah diganti.

Britney Spears




Pada Januari 2004, Britney Spears, 32, pernah melakar sejarah membina perkahwinan singkatnya iaitu selama 55 jam bersama teman zaman kanak-kanak­nya, Jason Allen Alexander. Pasangan itu melangsung­kan perkahwinan singkat itu di gereja The Little White Wedding Chapel, Las Vegas. Kira-kira enam bulan kemudian, tanpa rasa bersalah Spears mengumumkan pula berita pertunangannya ­dengan Kevin Federline. Hubungan cinta Britney dan Federline juga berlaku dalam tempoh singkat selepas tiga bulan berkenalan. Ketika itu, Federline baru putus cinta dengan aktres Shar Jackson. Pada 18 September 2004, Spears dan Federline ­bernikah secara senyap dan hanya mendaftarkan perkahwinan itu selepas tiga minggu mereka bersama. Hasil perkahwinan Spears dan Federline yang akhir­nya membawa haluan hidup masing-masing selepas tiga tahun hidup bersama dikurniakan dua anak lelaki Sean Preston Federline, 8, dan Jayden James Federline, 7.


Kim Kardashian

 Foto

Sebelum berkahwin ­dengan bintang Rap terkenal, Kanye West pada 24 Mei lalu, Kardashian, 33, pernah mengejutkan peminatnya apabila memfailkan cerai terhadap bekas suaminya, Kris Humphries yang juga atlet ternama. Kardashian yang berkahwin dengan Humphries di Montecito, California pada 20 Ogos tahun lalu memfailkan perceraian selepas 72 hari mereka bergelar suami isteri. Meskipun dihimpit ­pelbagai kontroversi dan kisah sensasi disebabkan ­perceraian itu, Kardashian tetap meneruskan kehidupan­nya tanpa perasaan kecewa. Kini misi pencarian cinta Kardashian nampak­nya berakhir apabila dia dan West dapat bersatu juga selepas ­berjuang bersama menghadapi kontroversi yang timbul.

Drew Barrymore

Foto

Selain Britney, bintang tenama Hollywwod yang sering kecundang dalam perkahwinan adalah Drew Barrymore. Pada usia 16 tahun sekitar 1991, Barrymore sudah gagal dalam hubungan cintanya. Kisah pertunangan Barrymore dengan Leland Hayward putus selepas beberapa bulan diikat. Begitu juga dengan pertunangannya bersama pemuzik, Jamie Walters yang bertahan selama setahun. Tidak serik mencari cinta sejati, pada usia 19 tahun Barrymore berkahwin dengan suami pertamanya, Jeremy Thomas dan mereka bercerai dua bulan selepas berkahwin. Pada Julai 2000, Barrymore mengikat pertunangan dengan pelakon komedi Hollywood, Tom Green dan berkahwin pada Julai 2001. Namun, mereka akhirnya mengumumkan perceraian pada Disember tahun yang sama. Tak kenal erti kecewa, Barrymore menjalin cinta lagi dengan pemain dram kumpulan The Strokes, Fabrizio Moretti pada 2002. Mereka bercinta selama lima tahun dan berpisah pada Januari 2007. Masih tidak putus asa mencari cinta sejati, akhirnya pada 2011 Barrymore menjalin kasih dengan anak jutawan, Arie Kopelmen dan berkahwin. Nampaknya masih dalam ‘mood’ bahagia, pasangan ini memiliki dua anak dikurniakan Olive Barrymore Kopelman, 2, dan Frankie Barrymore Kopelman, baru berusia dua bulan.

Jimmy Shanley dan Nursuhaila Suhaimy
Tempoh perkahwinan: 20 hari



Pengacara Akademi Fantasia 8 (AF8) dan Trek Selebriti, Jimmy Shanley bertunang dengan Nursuhaila Suhaimy atau Suhaila pada 11 Jun 2010 di Sunway Rahman Putra, Sungai Buluh, Selangor. Seterusnya Jimmy yang berusia 30 tahun ketika itu diijabkabul dengan Suhaila, 24, di kediaman keluarga isterinya pada 1 Oktober 2010 dan keesokannya mengadakan majlis resepsi perkahwinan ­gilang gemilang di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Bagaimanapun selepas 20 hari berkahwin, rumah tangga pasangan ini mula retak menyaksikan kedua-duanya tinggal berasingan dan turun naik mahkamah di Shah Alam untuk proses bercerai. Hampir dua tahun menyelesaikan kemelut ini, Jimmy dan Suhaila sah bercerai talak satu pada 10 Oktober 2012. Pasangan ini dikurniakan anak, Zahra Rania Shanley yang kini berusia tiga tahun. Jimmy, 34, kini bahagia dengan perkahwinan keduanya dengan Mariam Jamilah Abdul Jalil, 26, pada 8 Jun lalu di Hotel Concorde Shah Alam. Diharapkan perkahwinan ini membahagiakan sekali gus merealisasikan impiannya untuk mencari isteri yang mampu membawanya hingga ke Jannah.


Beego dan Intan Shahira
Tempoh perkahwinan: 10 hari

 Foto

Pelakon Beego atau nama sebenar­nya Mohd Aszerul Nizam Abdullah yang berkahwin pada usia 26 tahun dengan Intan Shahira Mohd Shahru, 25, pada 29 Disember 2007 mungkin memegang rekod sebagai artis tempatan yang mengecapi alam rumah tangga paling singkat. Biarpun sembilan tahun bercinta, pasangan ini mengecap nikmat kebahagiaan 10 hari saja sebelum mengalami masalah rumah tang­ga. Hampir dua tahun naik turun mahkamah di Kuala Lumpur, mereka akhirnya sah bercerai talak satu pada 16 Mac 2009. Beego, 34, kemudian berkahwin dengan pelakon Linda Hashim, 30, pada 8 Jun tahun lalu selepas bercinta selama dua tahun. Dia sudah melupakan kisah silam yang pahit dan rumah tangganya bersama Linda kini bahagia dengan kelahiran cahaya mata, Jelita Clarissa pada 23 April lalu di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur.



Abby Abadi dan Farhan
Tempoh perkahwinan: Hampir setahun

Foto 

Bekas anggota kumpulan Elite dan pelakon Gerak Khas ini mendirikan rumah tangga ­dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8, dan Maria Danisha Hakim, 5. Abby, 37, kemudian berkahwin dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar atau Farhan, 24, secara rahsia pada 9 Julai 2013 di selatan Thailand biarpun baru dia minggu berkenalan. Bagaimanapun belum sempat menyambut ulang tahun perkahwinan pertama, pasangan ini sah bercerai talak satu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 11 Jun lalu. Proses menuju perceraian ini berlangsung penuh kontroversi di mana kedua-dua belah pihak saling tuduh menuduh. Farhan sudah melafazkan cerai pertama sekitar Januari lalu, tetapi mahkamah tidak mensabitkan jatuh talak kerana lafaz berkenaan tidak memenuhi rukun dan syarat talak. Abby kelihatan tenang reda dengan perpisahan itu dan menyatakan sudah berusaha dan berdoa, tetapi tidak nampak jalan. Semoga kebahagiaan akan berpihak kepadanya suatu masa nanti.


Adam dan Fiza
Tempoh perkahwinan: Tujuh bulan


 

Meskipun berkahwin atas dasar cinta, namun mahligai rumah tangga yang dibina penyanyi dan pelakon Adam atau Mohd Aizam Mat Saman, 31, bersama pelakon Siti Zaidatul Fiza Abd Halim (Fiza), 33, hanya bertahan tujuh bulan. Mereka yang hanya berkenalan selama dua bulan selamat dinikahkan pada 26 September tahun lalu di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Shah Alam dan sah bercerai pada 28 April lalu. Tiada persefahaman dan isu gambar dalam laman Instagram menjadi punca utama perceraian pasangan itu. Apapun, ia adalah kegagalan kali kedua Fiza dalam perkahwinan. Fiza yang pernah mendirikan rumah tangga sebelum bernikah dengan Adam turut memiliki dua orang cahaya mata iaitu Ferra Aryana, 6, dan Feeya Adyrra, 5, menerusi perkahwinan pertamanya.


Chef Riz dan Ana Dahlia
Tempoh perkahwinan: Hampir setahun

 

Diperkenalkan sendiri oleh adiknya pelakon Serina Redzuawan, tempoh tiga bulan menjalin hubungan cinta sudah cukup buat chef selebriti Mohd Nadzri Redzuawan atau dikenali sebagai Chef Riz menyunting pelakon Ana Dahlia sebagai isteri. Berkahwin atas dasar cinta, hubungan pasangan ini yang tiba-tiba saja dilanda badai berkesudahan dengan perceraian pada November 2012 sebelum mereka sempat meraikan ulang tahun perkahwinan yang pertama. Chef Riz, 32, dan Ana Dalia atau Diyana Mastura Jaafar, 31, bernikah pada 11 Disember 2011 memilih keputusan bercerai selepas mendapati tiada persefahaman dalam perkahwinan mereka. Ana dalam kenyataan­nya juga pernah memberitahu kegagalan rumah tangga bersama Chef Riz itu berkemungkinan turut berpunca daripada sikap terburu-buru mereka membuat keputusan berkahwin kerana berkenalan dalam tempoh singkat. Bagaimanapun, perceraian dengan Chef Riz juga bukanlah kegagalan pertama Ana dalam rumah tangga kerana dia pernah berkahwin sebelum itu. Kini, selepas hampir dua tahun hidup menjanda, Ana sudah bertemu pengganti dan dalam proses merancang perkahwinan baru. -metro

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates