Malaysia menghantar 18 petugas pengecaman mangsa bencana (DVI) ke Kharkiv, Ukraine bagi membantu proses penghantaran mayat korban nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 ke Amsterdam, Belanda.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mereka akan membantu proses penandaan dan pemindahan mayat ke pesawat tentera Belanda, C130 Hercules.
“Saya dimaklumkan bahawa pasukan forensik dan pasukan sokongan yang relevan kini terpaksa melakukan proses yang memakan masa beberapa jam sebelum mayat terbabit diterbangkan ke Amsterdam.
“Kita masih perlu tahu apa yang sebenarnya terjadi dan kita harap penyiasat akan menjalankan tugas mereka di lokasi nahas bagi menentukan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mayat penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dibawa ke Kharkiv oleh sebuah kereta api dari Torez dan selamat tiba pukul 11 pagi waktu Ukraine (4 petang waktu Malaysia) pada Selasa.
Petugas DVI dihantar ke Kharkiv berikutan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin malam bahawa 282 mayat akan dipindahkan oleh kereta api dari Torez ke Kharkiv selepas beliau berjaya berunding dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah bergolak di Ukraine di mana nahas itu berlaku.
Pesawat MH17, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.
Pesawat jenis Boeing 777-200 itu membawa 298 orang iaitu 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Dipercayai pesawat itu ditembak jatuh namun sehingga hari ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas insiden berkenaan.
– BERNAMA
0 comments:
Post a Comment