Sebuah restoran di North Carolina menawarkan potongan harga kepada setiap pelanggan yang berdoa di depan orang ramai sebelum menjamah makan masing-masing. Pemilik bersama Mary’s Gourmet Diner di Winston-Salem, Mary Hanglind memberitahu media, pelayan kedainya akan memberi potongan 15 peratus ke atas bil pelanggan jika mereka menunjukkan kesyukuran sebelum makan.
Kata Mary, diskaun itu diberi tanpa mengambil kira kepercayaan atau pegangan agama pelanggan. “Asalkan mereka meluangkan sedikit masa berterima kasih kepada Tuhan atas rezeki diberikan, kami menghargainya.
“Saya berbesar hati melihat seseorang menghargai makanan yang kami hidangkan,” katanya.
Mary berkata, pendirian restoran itu dikuatkuasakan sejak empat tahun lalu tetapi ia tidak pernah diiklankan sebelumnya.
“Kami tidak pernah memberitahu pelanggan mereka akan dapat diskaun jika menunjukkan kesyukuran. Kami tidak pernah mempromosikannya, cukuplah sekadar mencatatkannya dalam resit,” katanya.
Diskaun kerana doa itu berterusan selama ini dengan hanya sebilangan kecil pelanggan menyedarinya.
Bagaimanapun ia tersebar kepada umum apabila sebuah stesen radio Kristian menyiarkan bukti resit dalam Facebook minggu lalu dan mendapat 9,000 Like serta komen positif.
Namun seperti biasa kritikan dan komen negatif juga muncul.
Ramai juga pengguna Facebook membanjiri akaun restoran Mary mengutuk mereka kononnya bersikap diskriminasi terhadap pelanggan yang tidak mempunyai sebarang kepercayaan agama.
“Cuba jelaskan bagaimana untuk membezakan sama ada orang itu bermeditasi atau sekadar mengambil masa sejenak sebelum mula makan? Tidak mungkin kamu boleh mengagak apa yang ada dalam fikiran seseorang malah ramai juga yang berdoa dalam diam-diam tanpa menunjukkan sebarang perlakuan,” tulis seorang pengkritik.
Mary menegaskan sekali lagi potongan harga tidak diberikan hanya kepada pelanggan Kristian yang menunjukkan mereka berdoa.
“Tidak kiralah apapun kepercayaan kamu atau cara kamu berdoa, saya sekadar suka bila orang menghargai pemberian Tuhan kerana pernah hidup di negara miskin yang sentiasa kekurangan makanan,” katanya. - Agensi
0 comments:
Post a Comment