Baitulmaqdis: Pemuda Palestin semalam menebuk lubang pada tembok dibina Israel bagi wilayah itu sebagai langkah simbolik meraikan 25 tahun kejatuhan Tembok Berlin.
Kumpulan aktivis Palestin membawa tukul itu tidak mengendahkan kehadiran pasukan keselamatan Israel yang sering membuat rondaan apabila membuat lubang pada tembok yang melintasi perkampungan Bir Nabala antara Baitulmaqdis dan Ramallah.
“Tidak kira betapa tinggi sekalipun sesuatu tembok, akhirnya jatuh juga. Sama seperti Tembok Berlin, tembok di Palestin ini juga akan runtuh,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Menurut wartawan, perbuatan simbolik itu dilaksanakan sekumpulan aktivis dan bukannya kempen terancang.
Mereka cuba melakukan perkara tahun lalu.
Dalam rakaman disiarkan televisyen Palestin, kumpulan itu berkata tindakan itu diambil untuk menyampaikan mesej bahawa pembinaan tembok berkenaan tidak akan menghalang penduduk Palestin daripada memasuki Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.
Mereka turut menggesa penduduk setempat bersedia menyertai intifada Baitulmaqdis yang dianggap usaha kebangkitan terakhir untuk membebaskan Palestin.
Keruntuhan Tembok Berlin suku abad lalu acara besar dalam kejatuhan komunis seterusnya menyatukan Jerman pada 1990.
Sepanjang 28 tahun kewujudannya, ia menjadi simbol penindasan rejim komunis dunia.
Penduduk Palestin menggelar tembok yang kini memisahkan Tebing Barat dari Israel sebagai “tembok aparteid.”
Ia mula dibina Israel pada 2002 kononnya untuk keselamatan, tetapi ia amat zalim kerana menyusahkan penduduk Palestin.
Ia juga dianggap taktik kotor rejim Zionis merampas tanah mereka.
Apabila siap, 85 peratus daripada tembok itu akan berada di dalam Tebing Barat.
Pertubuhan Hak Asasi Manusia Israel, B’Tselem melaporkan, pembinaan tembok itu mengakibatkan rakyat Palestin terseksa kerana hubungan antara penduduk terputus, selain memisahkan mereka dari kebun serta punca pendapatan lain.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 2004 memutuskan pembinaan tembok itu bertentangan dengan perundangan antarabangsa.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah turut menganggapnya mengakibatkan “masalah kemanusiaan dan perundangan yang serius.” - Agensi
0 comments:
Post a Comment