Responsive Banner design
Home » , » Ukraine Pecat Menteri Pertahanan

Ukraine Pecat Menteri Pertahanan

Foto
Kiev: Parlimen Ukraine semalam memecat menteri pertahanannya selepas tentera negara itu berundur dari Crimea tanpa melepaskan sebarang tembakan terhadap askar Russia yang mengambil alih kuasa di semenanjung Laut Hitam itu.
Kehilangan Crimea kepada Russia, walaupun tidak diiktiraf oleh Barat, memberi tamparan hebat dari segi psikologi kepada ramai penduduk Ukraine yang sejak puluhan tahun lalu berdepan dengan kegiatan rasuah pemimpin mereka serta masalah ekonomi.
Pemimpin tentera Ukraine di Crimea mengadu keliru dengan keputusan pegawai kanan tentera di Kiev sejak Presiden Russia Vladmir Putin mengumumkan hak untuk menggunakan kekerasan terhadap negara jirannya sebagai reaksi kepada kejatuhan rejim pro-Kremlin di Kiev bulan lalu.
Kira-kira 228 daripada 450 anggota Parlimen menyokong pemecatan Igor Tenyukh selepas pemangku menteri pertahanan itu mengemukakan peletakan jawatannya dalam ucapan penuh emosi yang disiarkan di seluruh negara menerusi televisyen.
“Tindakan saya di Crimea telah menyebabkan beberapa pihak tidak berpuas hati. Saya tidak bercadang mempertahankan jawatan ini. Saya ada maruah,” kata Tenyukh dalam satu kenyataan.
Anggota Parlimen kemudian mengundi melantik Leftenan Jeneral Mykhailo Koval selaku pemangku menteri pertahanan baru selepas namanya dicadangkan oleh presiden sementara Oleksandr Turchynov.
Koval menjadi tajuk berita awal bulan ini apabila diculik seketika oleh anggota militia pro-Kremlin berhampiran pangkalan tenteranya di Pelabuhan Yalta, Crimea. Sidang semalam turut memberi peluang kepada anggota Parlimen menyuarakan kekecewaan mereka mengenai cara anggota kerajaan sementara menjalankan tugas mereka sejak mula berkuasa.- AFP

0 comments:

Post a Comment

Menu :
Powered by Blogger.

Popular Posts

Comment

Free and Premium Blgger Templates