MOCOA, Colombia — Seorang remaja Britain dilaporkan meninggal dunia di rantau Amerika Selatan selepas mengambil dadah halusinasi dalam satu upacara tradisional.
Remaja tersebut, Henry Miller, 19, yang berasal dari bandar Bristol berada di dalam sebuah hutan hujan di pedalaman Colombia bersama beberapa pelancong lain apabila dia mengambil dadah itu bersama penduduk pribumi, lapor akhbar Daily Mail.
Miller dilaporkan meminum minuman dikenali sebagai Yage yang menyebabkan peminumnya mengalami halusinasi di sebuah hostel tempat dia menginap di sini dalam wilayah Putumayo pada minggu lalu.
Hotel itu milik seorang pawang yang mengadakan upacara kerohanian tersebut.
Dia dilaporkan meminum minuman khayal itu sebanyak dua kali iaitu pada Ahad dan Selasa lepas.
Seorang pelancong yang berada bersama mangsa, Christopher Dearden memberitahu, dadah itu tidak memberi kesan kepada Miller selepas dia meminumnya untuk kali pertama.
“Namun, dia sakit teruk selepas minum Yage untuk kali kedua bersama tujuh pelancong lain termasuk saya,” kata Dearden.
Menurut Dearden, 27, kesemua lapan pelancong itu jatuh sakit selepas meminum yage tetapi sembuh tidak lama kemudian melainkan Miller.
“Keadaannya bertambah teruk, dia membuat pelbagai bunyi binatang malah, cuba untuk terbang seperti burung sebelum tidak sedarkan diri,” ujarnya.
Keluarga pawang itu memberitahu kumpulan pelancong itu bahawa mereka akan menjaga Miller.
Namun, remaja itu didapati hilang keesokan harinya.
Pada hari sama, polis tiba ke hostel tersebut dan menunjukkan gambar mayat Miller. Remaja itu dilaporkan sama ada telah dicampak atau terjatuh dari sebuah motosikal di tepi jalan berdekatan lokasi tersebut.
Yage yang juga dikenali sebagai Ayahuasca dibuat daripada beberapa jenis daun tumbuhan dan digunakan bagi tujuan perubatan dan kerohanian oleh penduduk Amerika Selatan.
Minuman itu boleh menyebabkan peminumnya mengalami muntah dan cirit-birit selain gangguan psikologi.– Agensi
Sumber Asal