|
Gambar Hiasan |
Nandakumar, India: Kejadian rogol yang berlaku untuk kesekian kalinya kelmarin bukan saja meragut nyawa mangsa, malah menyebabkan seorang suspek mati di tangan orang kampung.
Dalam kejadian di negeri Bengal Barat itu, mangsa adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan mayatnya ditemui tergantung di sebatang pokok di Nandakumar. Sejarah perselisihan faham yang panjang antara keluarga mangsa dan suspek dipercayai mendorong kejadian tidak berperikemanusiaan itu.
Sumber berkata, keluarga mangsa dan suspek bertelagah mengenai pemilikan tanah ladang berhampiran kampung mereka.
Baru-baru ini bapa mangsa dan suspek bergaduh namun perkara itu tidak dinyatakan dalam laporan polis kelmarin. Tidak seperti beberapa kes rogol lalu, Nandakumar di Haldia itu bukanlah kawasan terpencil malah terletak hanya 90 kilometer dari Kolkata.
Kali terakhir mangsa dilihat adalah kira-kira jam 5 petang Rabu lalu ketika dia keluar membeli makanan selepas pulang dari sekolah.
Apabila bapa mangsa mendapati kanak-kanak itu tidak pulang dia dan penduduk kampung mula menjalankan operasi mencari.
Mangsa disyaki lemas dalam kolam dan usaha mencari dibuat ke semua kawasan berhampiran sawah padi namun dia tidak dijumpai sehingga mereka menghentikan usaha itu kerana malam.
Kira-kira tengah malam, seorang pemuda keluar ke kawasan belukar untuk membuang air dan ternampak satu mayat tergantung pada pokok.
Dia menjerit ketakutan dan lolongan itu didengari penduduk kampung yang kemudian keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.
Selepas diteliti mereka mengenal pasti mayat tergantung itu ialah kanak-kanak yang mereka cuba kesan sebelumnya, Ketika ditemui kanak-kanak itu berada dalam keadaan hampir bogel dan cebisan pakaiannya ditemui bersepah di kawasan berhampiran sawah padi. Penduduk kampung mengesyaki kanak-kanak malang itu dirogol dan mencari seorang lelaki yang dikenali pernah melakukan serangan seksual ke atas kanak-kanak setempat.
Ketika orang kampung tiba, suspek didapati memakai gamcha (kain yang biasanya digunakan untuk mengesat peluh) dan dia bersama dua rakannya cuba melarikan diri. Penduduk kampung mengejar suspek dan membelasah mereka.
Rumah suspek juga dibakar. Apabila polis tiba, suspek utama didapati sudah tidak bernyawa, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri. - Agensi